GAPEIM mampu rapatkan hubungan komuniti, rai perbezan antara satu sama lain

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Ketua Menteri, Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM) mampu memainkan kepelbagaian peranan selain menyuarakan suara rakyat kini.


Menurut beliau, GAPEIM mampu menjadi entiti yang merapatkan hubungan komuniti sedia ada dalam meraikan perbezaan antara satu sama lain.

 

“Saya percaya kekuatan gabungan ini bukan sekadar menjadi perantara untuk menyuarakan suara rakyat tetapi lebih penting sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan sesama komuniti bagi meraikan perbezaan  yang wujud antara satu sama lain.

 

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2018, GAPEIM yang merupakan gabungan daripada 14 persatuan telah menjadi nadi perhubungan dalam membantu serta memperkasakan komuniti India Muslim di negeri ini merangkumi aspek sosio ekonomi, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

 

“Kita mungkin berbeza pendapat, namun perbezaan yang kita kecapi ini tidak sewajarnya menjadi satu titik tolak kepada perpecahan dan rasa tidak percaya antara satu sama lain, sebaliknya ia perlu diangkat sebagai usaha bagi mengukuhkan perpaduan dan pelengkap dalam kepelbagaian kehidupan,” ujarnya pada Majlis Iftar Perdana dan Pengagihan Zakat GAPEIM dekat Dewan MJMC di sini petang tadi.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Presiden GAPEIM, Dr. Ameenul Husaini Abdul Kadir dan Timbalan Presiden Persatuan Liga Muslim merangkap Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed.

 

Pada majils sama, cenderahati turut disampaikan kepada penerima-penerima pingat Kerajaan Negeri dalam kalangan ahli GAPEIM serta sumbangan zakat kepada 30 asnaf.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD