Garis panduan baharu penginapan pekerja tempoh terhad berkuat kuasa 1 September

Admin
img 20260817 wa0013

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan Garis Panduan Penginapan Pekerja Tempoh Terhad di Kawasan Pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pulau Pinang 2026 sebagai langkah interim bagi mengurus keperluan penginapan pekerja secara lebih tersusun, terkawal dan mampan.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, garis panduan baharu itu diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN) pada 12 Ogos lalu dan akan berkuat kuasa mulai 1 September 2026.

 

Menurut beliau, pendekatan tersebut diambil susulan keperluan penginapan pekerja yang semakin mendesak, khususnya bagi menyokong sektor industri yang masih bergantung kepada tenaga kerja asing.

 

Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius terhadap penyediaan penginapan pekerja yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

 

“Namun, penyelesaian ini perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira kesesuaian lokasi, keselamatan, kesejahteraan penghuni serta kesan terhadap kawasan kediaman dan komuniti setempat,” ujarnya pada sidang media di Komtar hari ini.

 

img 20260817 wa0016
H’NG Mooi Lye (tiga dari kiri) bersama-sama A. Rajendran (tiga dari kanan), Mohd. Hairol Man (dua dari kanan) dan wakil jabatan berkaitan pada sidang media di Komtar hari ini.

 

 

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Hairol Man serta wakil daripada Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Pulau Pinang.

 

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pada 2024, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Sementara (Temporary Labour Quarters, TLQ) di kawasan PBT sebagai penyelesaian sementara dengan tempoh kelulusan selama tiga tahun sehingga 31 Disember 2027.

 

Tegasnya, hala tuju Kerajaan Negeri jelas, iaitu menggalakkan peralihan secara berperingkat dengan memperkenalkan garis panduan penginapan pekerja tempoh terhad, memandangkan kapasiti Penginapan Pekerja Berpusat atau Centralised Labour Quarters (CLQ) yang merupakan penyelesaian jangka panjang masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan penginapan pekerja.

 

“Pelaksanaan TLQ interim atau sementara bukanlah penyelesaian jangka panjang dan tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk penginapan pekerja yang akan dikekalkan selama-lamanya,” katanya.

 

Sehubungan itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pertimbangan dan Penilaian Permohonan Penginapan Pekerja di Negeri Pulau Pinang yang diluluskan dalam MMKN Bilangan 15 Tahun 2026 pada 15 Mei lalu dengan dianggotai oleh wakil daripada BKT, PLANMalaysia Pulau Pinang, MBPP, MBSP, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta JTK Negeri Pulau Pinang.

 

 

Jelas beliau, garis panduan baharu itu menetapkan bahawa penginapan pekerja tempoh terhad hanya dibenarkan di kawasan perniagaan dan perindustrian yang memenuhi syarat serta keperluan ditetapkan.

 

Pendekatan ini dibuat dengan mengambil kira kesesuaian lokasi, aspek keselamatan dan kesejahteraan penghuni serta usaha meminimumkan implikasi terhadap kawasan kediaman dan komuniti setempat.

 

“Para pengusaha atau operator yang berminat, borang permohonan boleh diperoleh daripada kedua-dua PBT mulai hari ini (17 Ogos 2026), dengan kadar fi ditetapkan berdasarkan keluasan setiap unit penginapan.

 

“Bagi unit berkeluasan 750 kaki persegi dan ke bawah dikenakan fi RM1,500 bagi setiap unit untuk setiap permohonan, manakala unit berkeluasan 751 kaki persegi dan ke atas dikenakan bayaran sebanyak RM3,500 bagi setiap unit untuk setiap permohonan.

 

“Setiap pengusaha atau operator juga diwajibkan mendapatkan permit daripada PBT terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan Sijil Penginapan Pekerja (Certificate of Accommodation, COA) daripada JTK Negeri,” jelasnya.

 

img 20260817 wa0017(1)

 

Tambah beliau, garis panduan baharu itu akan turut memberi ruang kepada pengusaha TLQ sedia ada yang tidak dapat memperbaharui permit pengoperasian tetapi masih mempunyai keperluan menyediakan penginapan pekerja, selain pengusaha yang sebelum ini tidak dapat mengemukakan permohonan TLQ.

 

“Penyediaan CLQ kekal sebagai hala tuju utama Kerajaan Negeri bagi penginapan pekerja di Pulau Pinang.

 

Penginapan Pekerja Tempoh Terhad ini bukan bertujuan menggantikan CLQ, apatah lagi membuka ruang kepada penginapan pekerja secara kekal.

 

“Sebaliknya, cadangan ini adalah sebagai alternatif bagi mengurus tempoh peralihan sehingga kapasiti CLQ mencukupi, sekali gus membolehkan keperluan penginapan pekerja disusun dengan lebih baik, teratur dan mengambil kira kepentingan komuniti setempat,” katanya.

 

Menjawab pertanyaan pemberita selepas itu, Mooi Lye memberitahu bahawa syarat bagi kapasiti dan keluasan penginapan adalah mengikut garis panduan disediakan oleh JTK Negeri Pulau Pinang.

 

“Bagi penginapan dengan reka bentuk asrama (dormitories), keluasan tempat tidur adalah 3 meter persegi setiap pekerja dengan sebuah tandas untuk setiap 15 pekerja.

 

“Manakala, bagi reka bentuk pangsapuri pula, keluasan ditetapkan pada 3.6 meter persegi dengan sebuah tandas untuk setiap 6 pekerja,” katanya.

 

 

Difahamkan, di kawasan pentadbiran di bawah MBPP terdapat sebanyak 1,617 TLQ berpermit dan MBSP mempunyai 1,492 TLQ berpermit. Bagi CLQ pula, MBPP mempunyai dua buah, manakala MBSP mempunyai empat buah.

 

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: PEJABAT EXCO