Soal Selidik Bajet 2019 berdasarkan pelan strategik lima tahun MPSP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sekali lagi melaksanakan soal kaji selidik Bajet MPSP 2019 mulai 1 Februari hingga 31 Mac ini.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, soal selidik kali ini adalah berdasarkan Pelan Strategik Tahun 2018 hingga 2022, yang baru dilancarkan pada 2 Januari lalu.

“Proses merangka Bajet 2019 juga akan mengguna pakai metodologi Bajet Responsif Gender dan Partisipatori (GRPB) bagi memastikan pengagihan serta penyediaan peruntukan kewangan memberi impak yang menepati kehendak kumpulan gender berbeza,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini 25 Januari lalu.

Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmud serta barisan Ahli Majlis MPSP lain turut sertai sidang media itu.

Tambah Rozali, MPSP akan menyediakan borang kaji selidik dalam empat bahasa iaitu Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris supaya semua komuniti boleh memahami serta mengambil bahagian dalam proses maklum balas tahunan tersebut.

Selain itu, tambah beliau, soal selidik secara dalam talian turut disediakan di laman rasmi MPSP, www.mpsp.gov.my.

Info lanjut atau sebarang pertanyaan, hubungi talian 04-5497460/841/890 atau emel rasida@mpsp. gov.my dan [email protected].