Garis Panduan Pengoperasian Tempat Inap Persendirian jangka dikuatkuasa Januari 2023

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasian Tempat Inap Persendirian bagi skim bangunan berstrata dan skim rumah atas tanah yang dijangka dapat dikuatkuasakan bermula Januari tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata garis panduan itu dirangka bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi berkaitan sejak Disember tahun lalu dan kini telah siap lebih 90 peratus.

“Pada masa ini, kita sedang menjalankan sesi libat urus melibatkan semua pihak termasuk pemilik unit strata serta kediaman atas tanah bagi mendapatkan maklum balas berhubung garis panduan ini.

“”Kita akan membentangkan garis panduan yang sudah siap sepenuhnya dalam mesyuarat Exco dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sesi Libat Urus Tempat Inap Persendirian Pulau Pinang dekat Komtar di sini pagi tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Dato’ Azhar Arshad; Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin dan Pengarah Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Nik Ariff Long Dir.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata sejak 2019 sehingga Mei tahun ini, lebih 600 aduan telah diterima oleh MBPP daripada pemilik unit berstrata berhubung masalah yang berpunca daripada penyewa inap desa.

“Antara aduan yang sering diterima adalah isu bising, penyewa inap desa menggunakan kemudahan bersama seperti gymnasium, kolam renang dan lain-lain kemudahan.

“Justeru, Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil ringan berhubung aduan-aduan ini kerana ia melibatkan kesejahteraan hidup penghuni-penghuni yang lain.

“Pada masa ini, sekiranya terdapat sebarang kes berhubung unit-unit kediaman yang dijadikan inap desa, PBT boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada seperti Akta Kerajaan Tempatan, Undang-Undang Kecil PBT dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Jagdeep berkata, Pulau Pinang merupakan negeri ketiga yang mempunyai bangunan bertingkat terbanyak dalam negara merangkumi 2,511 skim berstrata dengan 326,464 unit kediaman.

“Pulau Pinang pada masa ini menjadi tempat tarikan pelancong dan ada kediaman yang dijadikan inap desa, kita tidak mahu halang industri ini daripada berkembang.

“Namun, untuk menjaga kesejahteraan pemilik unit garis panduan ini perlu dikuatkuasakan bagi memastikan mereka tidak terjejas dengan isu-isu berpunca daripada penyewa inap desa,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING