Gaya hidup sihat cegah Hepatitis, kanser hati – KM

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Amalan gaya hidup sihat adalah langkah terbaik untuk mencegah diri daripada mengidap sakit Hepatitis, termasuk risiko mengidap kanser hati.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa merasmian Hari Hepatitis Pulau Pinang Kali Ke-14, anjuran Yayasan Hati Malaysia (MLF) baru-baru ini.

“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati…semua kita mempunyai hanya satu hati.

“Sebab itu, marilah kita membantu MLF dalam usaha mereka untuk membantu kita menjaga hati kita,” ujarnya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Presiden MLF, Prof. Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dan timbalannya, Prof. Datuk Dr. Robert Ding serta Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Hassan Merican turut hadir pada majlis keraian tahunan itu.

Guan Eng memberitahu, sebanyak 21 kes Hepatitis B direkodkan di Pulau Pinang pada tahun lepas walaupun semua bayi baru lahir di negeri ini telahpun diberikan vaksin pencegahan sejak 1989. Dianggarkan 5.24 peratus rakyat Malaysia adalah pembawa Hepatitis B.

Tambah beliau, tiada pula kes Hepatitis A direkodkan di negeri ini pada tahun lepas, walaupun virus tersebut disebarkan menerusi pencemaran najis pada makanan, bekalan air dan sebagainya, dipercayai oleh usaha Kerajaan Negeri mewujudkan iklim kebersihan di negeri ini.

Tambah beliau, terdapat 39 kes Hepatitis C pada tahun 2013 di negeri ini, walaupun ramai orang giat mendapatkan antibodi rutin pada penyakit tiada vaksin tersebut.

Difahamkan, Hepatitis B, jangkitan Hepatitis C dan penyalahgunaan alkohol adalah antara faktor yang menyumbang pada risiko kanser hati, iaitu barah kelima paling kerap menyerang gender lelaki di negara ini.

Justeru, Guan Eng memberitahu, kerajaan yang kuat dan dinamik, pasukan pakar terlatih serta sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO), seperti MLF cukup diperlukan demi melahirkan warga Pulau Pinang yang benar-benar mengamalkan gaya hidup sihat di negeri ini.