Tuah cuba ‘Cari Benda Tersembunyi’

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu!.

Walaupun hanya sekadar suka-suka dan ingin mencuba, nasib menyebelahi Penolong Juruaudit di Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Norasyikin Mat Isa, 30, dari Bukit Mertajam apabila penyertaan sulungnya dipilih sebagai pemenang bertuah Peraduan Kenali Pulau Pinang – Cari Benda Tersembunyi anjuran Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau membawa pulang wang tunaibernilai RM500 yang disampaikan Penolong Pegawai Makro Maklumat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Siti Zuraida Napi pada satu majlis ringkas di Komtar di sini baru-baru ini.

Ketika ditemui, Norasyikin yang hadir bersama lima anak saudaranya ternyata gembira dengan kemenangan tersebut yang dianggapnya sebagai rezeki.

“Kemenangan ini amat bermakna buat saya.

“Tak sangka pula betul-betul menang,” ujarnya kepada Buletin Mutiara selepas selesai majlis penyampaian hadiah di sini.

Ketika ditanya berkenaan Buletin Mutiara, sambil berseloroh Norasyikin
yang juga bekas Penolong Juruaudit di Jabatan Kewangan Negeri menyatakan bahawa beliau tidak pernah ketinggalan membaca penerbitan berkenaan bagi mendapatkan berita terkini dan program anjuran Kerajaan Negeri.

Peraduan yang julung kali diadakan tersebut menerima 2,500 penyertaan bagi tempoh 1 Mac hingga 14 Mei lalu.

Pemenang ditentukan berdasarkan tiga jawapan betul dan mengenal pasti
sembilan objek tersembunyi ditetapkan.