BUKIT TENGAH – Selepas lebih 25 tahun menyumbang kepada komuniti setempat, gelanggang bola keranjang terbuka di Taman Sentul Jaya akhirnya berwajah baharu apabila dinaik taraf menjadi sebuah fasiliti tertutup lengkap dengan kemudahan berbumbung dan lampu limpah demi keselesaan aktiviti penduduk pada waktu malam.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata bahawa projek transformasi bernilai RM680,000 itu mungkin akan meningkat lebih tinggi, jika dilengahkan lagi.
“Dalam dua tahun ini kita menyaksikan tiga projek di Taman Kerjasama, di Taman Perwira dan di Taman Sentul Jaya (di sini) yang mana masing-masing ada perbezaan kos.
“(Projek penaiktarafam gelanggang bola keranjang dengan kemudahan berbumbung) di Taman Kerjasama mungkin tak sampai RM400,000 (berbanding projek serupa) di Taman Perwira dengan kos lebih RM400,000.
“Tetapi di sini, lebih RM600,000 diperuntukkan untuk projek penaiktarafan gelanggang bola keranjang sedia ada dengan kemudahan berbumbung dan lain-lain di Taman Sentul Jaya,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan perasmian Gelanggang Bola Keranjang Tertutup di Taman Sentul Jaya dekat sini pada 24 Mei 2026.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya berharap dengan penaiktarafan projek-projek kemudahan seperti gelanggang bola keranjang tertutup di sini, ia akan turut memainkan peranan penting untuk menghimpunkan penduduk-penduduk bagi menjalankan aktiviti-aktiviti masyarakat setempat.
Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa projek penaiktarafan kemudahan di sini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 17,000 penduduk sekitar, yang mana ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan infrastruktur komuniti sentiasa berada pada tahap terbaik dan inklusif.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pembangunan negeri tidak hanya bertumpu kepada aspek ekonomi, malah turut memberi penekanan serius terhadap pembangunan sosial dan pengukuhan komuniti.
“Lebih daripada sekadar tempat beriadah, fasiliti yang kini lebih selesa dan boleh digunakan pada waktu malam ini menjadi ruang interaksi penting untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum serta generasi,” ujarnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Minyak Mukim 13, Chew Chin Ewo turut berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik yang juga ADUN Bukit Tambun.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD