Gelanggang bola keranjang Taman Jepun dinaik taraf ikut piawaian antarabangsa

Admin
tkm0129a

SERI DELIMA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menaik taraf gelanggang bola keranjang di Taman Jepun, Island Park, Persiaran Mas dengan anggaran kos RM800,000.

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran,antara komponen utama naik taraf gelanggang tersebut adalah membina bumbung dan menambah pencahayaan lampu.

“Projek naik taraf ini turut akan membawa manfaat kepada penduduk Seri Delima kerana kita akan bina bumbung yang mana bukan sahaja untuk riadah, tetapi boleh digunakan untuk majlis-majlis tertentu.

“Kita sasarkan kerja-kerja akan dimulakan pada Mac depan dan gelanggang ini dijangka tutup sehingga November 2026 dengan memakan masa selama lapan bulan untuk disiapkan,” ujarnya dalam satu sidang media di gelanggang bola keranjang Taman Jepun Island Park di sini tengah hari tadi.

b193f46c 6e87 4318 8e29 0c26e3ef2903 bbd6fc62 13c0 4957 92c6 6f818456717e

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng.

Difahamkan naik taraf tersebut bakal memenuhi piawaian antarabangsa dari segi saiz dan permukaan baharu yang lebih berkualiti dan selamat.

“Pencahayaan lampu juga akan dipasang oleh MBPP sehingga 10 malam apabila ia siap kelak, kita faham siang mungkin ramai tidak sempat main, jadi kita boleh menggalakkan orang ramai guna pada waktu malam,” jelasnya lagi.

Hooi Peng dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada MBPP kerana keperluan naik taraf tersebut telah dimohon sejak tahun 2023.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN