Gelanggang futsal ‘penyelamat trafik’ SK Pengkalan Jaya, satukan komuniti setempat – Datuk Bandar MBSP

Admin
img 5739 GAMBAR kenang-kenangan sempena Majlis Perasmian Projek Gelanggang Futsal Permatang Manggis dekat KADUN Permatang Berangan di sini pada 24 Mei 2025.
PERMATANG BERANGAN – Pembinaan Gelanggang Futsal Permatang Manggis dan kemudahan parkir oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi kepada penduduk setempat, malah dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya serta memperkukuh interaksi sosial komuniti sekitar.
img 5701
DATUK Bandar MBSP menyampaikan ucapan perasmian Projek Pembinaan Gelanggang Futsal Permatang Manggis di sini menjelang tengah hari tadi.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, projek bernilai RM383,000 yang dibangunkan di hadapan sekolah berkenaan membawa manfaat berganda apabila berfungsi sebagai kemudahan komuniti dan pada masa sama membantu melancarkan aliran trafik ketika waktu puncak persekolahan.

“Apabila kemudahan ini dibina berhampiran dan di hadapan kawasan sekolah, ia memberikan manfaat serampang dua mata.
“Ibu bapa kini mempunyai ruang yang lebih selesa dan selamat untuk meletakkan kenderaan sementara menunggu anak-anak pulang dari sekolah.
“Keadaan ini secara tidak langsung membantu melancarkan aliran trafik serta meningkatkan keselesaan pihak sekolah dan ibu bapa pada waktu puncak,” katanya ketika merasmikan projek berkenaan di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Pengarah Jabatan Landskap MBSP, Shaqhrony Md. Yusoff @ Jamaludin; serta Ahli Majlis MBSP, Chang Kim Joo.
img 5711
DATUK Bandar MBSP (depan, tengah), Mohd. Ibrahim Md. Nor (depan, kiri) dan pemimpin komuniti lokal lain diberi taklimat ringkas oleh Shaqhrony Md. Yusoff @ Jamaludin (depan, kiri) mengenai fasa sulung projek pembinaan Tapak Parkir dan Gelanggang Futsal Permatang Manggis di sini sebentar tadi.

Menurut Baderul Amin, kejayaan sesebuah bandar tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal seperti bangunan tinggi dan jaringan jalan raya yang luas, sebaliknya turut dinilai berdasarkan keupayaannya menyediakan ruang yang menghidupkan interaksi komuniti dan menyokong pembangunan generasi masa depan.

Beliau berkata, lokasi projek di atas Lot 3235 Mukim 12 dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta dikelilingi kawasan perumahan dan kampung tradisi.
“Kawasan ini dikelilingi komuniti dari Kampung Pokok Tampang, Taman Cempedak, Taman Sepadu, Taman Haji Ahmad Jamek, Kampung Permatang Sintok dan Kampung Pengkalan Batu.
“Dengan adanya gelanggang futsal ini, ia boleh menjadi titik pertemuan untuk anak-anak muda mengisi masa dengan aktiviti sihat, selain membuka ruang kepada keluarga dan penduduk untuk berkumpul serta mengeratkan hubungan sosial,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa perancangan asal bagi tapak seluas 1.5 ekar itu adalah untuk pembinaan sebuah padang bola sepak.
Namun, hasil penelitian teknikal mendapati keluasan kawasan tersebut kurang sesuai untuk pembangunan padang bersaiz penuh, sekali gus mendorong MBSP menukar perancangan kepada pembinaan gelanggang futsal serta zon pendidikan hijau.
Tambah beliau, projek yang siap sepenuhnya dalam tempoh kontrak selama 20 minggu bagi pelaksanaan fasa pertama itu turut menerapkan pendekatan Bajet Responsif Gender dan Partisipatori (GRPB).
“MBSP terlebih dahulu melaksanakan kajian selidik bagi mendapatkan pandangan dan memahami keperluan sebenar penduduk sebelum projek ini dilaksanakan.
“Ini membuktikan bahawa MBSP bukan sekadar membangunkan projek untuk rakyat, tetapi membangunkannya bersama rakyat.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 yang memberi penekanan kepada kesejahteraan keluarga, pengukuhan komuniti dan pembangunan mampan,” jelasnya.
Buletin Mutiara turut dimaklumkan bahawa MBSP tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan pembangunan fasa kedua pada masa hadapan sekiranya menerima peruntukan tambahan bagi mengoptimumkan baki tanah yang masih tersedia.
Dalam perkembangan sama, Baderul Amin turut menzahirkan kebimbangan terhadap aspek penyelenggaraan pasca pembinaan yang sering menjadi cabaran kepada pihak berkuasa tempatan dan berharap komuniti setempat dapat memainkan peranan bersama menjaga kemudahan tersebut.
Beliau mencadangkan agar pengurusan kawasan berkenaan dapat diselaraskan bersama komuniti setempat seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bagi memastikan aspek kebersihan dipantau serta mengelakkan kejadian vandalisme, memandangkan lokasi itu agak jauh dari pejabat pentadbiran MBSP.
“Isu utama yang sering kita hadapi adalah penyelenggaraan kerana kosnya tinggi dan kemampuan Majlis adalah terhad.
“Saya merayu kepada penduduk supaya menjaga kebersihan serta tidak merosakkan pagar dan kemudahan yang disediakan.
“Kita mahu memastikan gelanggang futsal dan kawasan parkir ini dapat dimanfaatkan dalam tempoh panjang demi kegunaan generasi akan datang,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Ahli Majlis MBSP, Dato’ Omar Abdul Hamid, yang kini ditaklifkan sebagai Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Permatang Berangan kerana mencetuskan idea pembangunan gelanggang futsal dan kemudahan parkir di kawasan berkenaan sebelum ini.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB