Gelanggang sepak takraw baharu di Kampung Melayu mampu cungkil bakat baharu

Admin

AIR ITAM – Tiga gelanggang sepak takraw bernilai RM200,000 akan dibina oleh Kerajaan Negeri di tapak dewan Padang Suria, Kampung Melayu, Air Itam bermula Oktober ini.

 

 

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, bagi memberi laluan kepada projek berkenaan pihaknya sudah mendapatkan kebenaran meroboh dan melupuskan dewan berkenaan yang sudah tidak lagi digunakan sejak 20 tahun.

 

 

 

“Saya berharap pembinaan gelanggang sepak takraw di sini sedikit sebanyak dapat membantu pembangunan sukan tersebut memandangkan Pulau Pinang adalah antara jaguh sukan tradisi ini.

 

 

 

“Pembangunan sukan bukan sahaja melibatkan atlet semata-mata tetapi juga melibatkan pembangunan fasiliti selaras dengan program Sukan Untuk Semua.

 

 

“Apabila ia siap diharap dapat menarik golongan belia, termasuk veteran untuk menjalankan aktiviti sukan yang sihat di samping mencungkil bakat-bakat baharu  dalam sepak takraw,” ujar Lip Chee ketika berucap pada sidang media Pembinaan Gelanggang Sepak Takraw di Kampung Melayu baru-baru ini.

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Penghulu bagi kawasan Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib.

 

 

 

Antara skop kerja terlibat adalah pembinaan lantai dan mengecat garisan, menyediakan kelengkapan menepati spesifikasi Persatuan Sepak Takraw Malaysia, pemasangan lampu limpah serta pembinaan pagar besi yang dijangka siap Disember ini.

 

Bercakap kepada pemberita, Soon Siang memaklumkan tapak tersebut pada mulanya (Februari 2020) dimohon untuk pembinaan gelanggang futsal.

 

 

 

“Selepas perbincangan lanjut, kita dapati ia lebih sesuai dibangunkan sebagai gelanggang sepak takraw.

 

 

 

“Walaubagaimanapun kita akan tetap bawa permohonan tersebut, termasuk bajet tambahan tahun hadapan untuk pembinaan bumbung bagi gelanggang sepak takraw ini,” jelasnya lagi.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD