Gelombang baru COVID-19, Kerajaan Negeri sentiasa pantau rapi

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengikuti serta memantau dengan rapi perkembangan kes-kes jangkitan COVID-19 di negeri ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya tetap menerima analisis mingguan serta statistik pada peringkat negeri berhubung kes-kes positif yang dilaporkan.

 

“Walaupun tidak diumumkan, namun Kerajaan Negeri tetap menerima statistik harian dan analisis mingguan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP),” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 27 Jun 2022.

 

Menurut Kon Yeow, berdasarkan data yang diterima, jumlah kemasukan ke hospital sehingga 26 Jun 2022 adalah 44 kes yang mana 39 daripadanya mengalami gejala pernafasan akut.

 

Sebanyak 39 kes dilaporkan mengalami gejala pernafasan akut dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (18) dan Hospital Kepala Batas (21).

 

“Manakala, baki lima (5) kes lagi memerlukan penjagaan di unit rapi rapi (ICU) yang mana Hospital Pulau Pinang (1) dan Hospital Kepala Batas (4).

 

“Bagi Minggu Epidemiologi 24/2022 iaitu bermula dari 12 hingga 18 Jun 2022, sebanyak 1,007 kes positif dilaporkan.

 

“Jumlah ini meningkat pada Minggu Epidemiologi 25/2022 (19 – 25 Jun 2022) sebanyak 6.4 peratus menjadikan kes positif dilaporkan sebanyak 1,072.

 

“(Dan) secara kumulatif, sebanyak 284,609 kes dilaporkan sehingga kini (bagi tahun ini di Pulau Pinang),” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa tiada kluster aktif dikenal pasti dan tiada kluster baharu dilaporkan sehingga kini.

 

Meskipun terdapat peningkatan kes, namun bukan dalam bentuk kluster sebaliknya jangkitan (yang dilaporkan adalah) berselerak dari seluruh negeri.

 

“Walaupun keadaan terkawal, kita masih perlu berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang fasa endemik kini,” katanya.

 

Terdahulu, sebagai dipetik, Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa gelombang baharu penularan jangkitan COVID-19 bakal berlaku lebih awal meskipun terdapat peningkatan kes dilaporkan, ia tidak mendatangkan kesan yang serius berbanding fasa pandemik dahulu.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD