Gender & Electoral Reform, kumpul pandangan dan cadangan tingkat penyertaan wanita dalam politik

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan usahasama Penang Institute (PI) baru-baru ini meluncurkan buku panduan sokongan Gender and Electoral Reform di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang hadir menyempurnakan majlis pelancaran berkaitan berkata, statistik terkini di Malaysia menunjukkan jurang ketara berhubung penyertaan politik berdasarkan gender.

“Hanya 13.0 peratus di peringkat Persekutuan adalah wanita, yang mana 10.8 peratus Ahli Parlimen, senator (21.9 peratus) dan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN (11.5 peratus).

“Malah, pada tahun lalu (2016), Malaysia berada di tangga ke106 daripada 144 negara seluruh dunia yang mempunyai jurang penyertaan wanita terutama sebagai penggubal undang-undang mengikut Global Gender Gap Index.

“Bagaimanapun, di Pulau Pinang, sekurang-kurangnya saya boleh berbangga kerana penyertaan wanita di peringkat penggubal undang-undang mencecah 15 peratus, lebih tinggi daripada peratus peringkat kebangsaan,” ujarnya baru-baru ini sambil merujuk kepada peratusan ketara penyertaan wanita sebagai Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tahun ini yang mencatatkan 33.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng ketika ditemui berkata, sistem pilihan raya kini, first-past-thepost, dilihat sedikit-sebanyak menyukarkan penyertaan wanita dalam politik.

“Justeru, sebagai wanita, kita perlu mencari penyelesaian dan menyusun strategi yang konkrit ke arah pelaksanaannya kelak.
“(Dan) hari ini, sejajar dengan hasrat itu, PWDC bukan sahaja meluncurkan buku panduan Gender and Electoral Reform untuk penggubal undangundang dan aktivis, malah turut mengadakan siri forum bertajuk Women and Inclusive Politics bagi mendapatkan pandangan berhubung sistem sedia ada serta cadangan menambah penyertaan wanita dalam landskap politik negara,” ujarnya yang juga hadir sebagai ahli panel forum.

Selain Chong Eng, turut menjadi ahli panel ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang menyampaikan ucapan penutup Forum Women and Inclusive Politics; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan dan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng.