Gerak berpasukan mampu hadapi 11 ADUN Melayu pembangkang Pulau Pinang, respons TKM I

(Dari kiri) MOHAMAD Abdul Hamid, Ketua Menteri dan Jagdeep Singh Deo (Timbalan Ketua Menteri II) di lobi Dewan Sri Pinang pada 16 Ogos 2023 saling memegang tangan sebagai simbol gerak berkumpulan atas nama Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – “Kita akan bergerak secara berpasukan dalam Kerajaan Perpaduan (Pulau Pinang) ini,” respons Timbalan Ketua Menteri I, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dalam sidang media bersama-sana Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Dewan Sri Pinang di sini pada 16 Ogos 2023.

Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat itu berkata demikian semasa ditanya mengenai persediaannya bagi mendepani 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang Pulau Pinang yang dalam kalangan Melayu juga.

Selain dirinya, Mohamad memberitahu bahawa Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang hari ini masih mempunyai enam ADUN berbangsa Melayu.

Mereka, menurutnya lagi, adalah Zairil Khir Johari (Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital merangkap ADUN Tanjong Bunga); Fahmi Zainol (Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi merangkap ADUN Pantai Jerejak); Rashidi Zinol (ADUN Sungai Acheh merangkap Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar); ADUN Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican; dan Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ke-15 baru-baru ini, Mohamad bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.37 Batu Maung dan menang dengan 3,221 majoriti undi.

Sebelum menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)/PH, Mohamad selama hampir empat tahun pernah ditaklifkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, iaitu sebuah pusat pengajian tinggi milik penuh Kerajaan Negeri.

Sebelum itu, beliau juga pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah Darul Aman.

Pernah menjadi ahli akademik selama kira-kira 23 tahun sejak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohamad berkata beliau yakin dapat menyumbang sesuatu bagi menjana sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang hari ini.

“Dari sudut (portfolio Exco) Pendidikan, Pengajian Tinggi, itu memang bidang saya dalam tempoh 23 tahun (sebagai ahli akademik) sejak di UKM lagi,” respons beliau sebagai menjawab soalan wartawan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD