Gerakan Pulau Pinang Mengajar lancar buku, TKMI harap komuniti terus diperkasakan

Admin
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (depan) diiringi Mohd. Fitri Ibrahim pada acara gimik majlis pelancaran buku ‘Pulau Pinang, Aku Mahu Mengajar!’ di Hikayat Bookstore Penang, Lebuh Pantai pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Sedar tidak sedar, kira-kira setahun juga Gerakan Pulau Pinang Mengajar dilaksanakan di lima lokaliti untuk mendorong anak-anak terpilih mampu membaca, menulis dan mengira (3M) serta tak ketinggalan dalam proses pembelajaran di sekolah.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman sebahagian pengkisahan sukarelawan dalam mendidik pelajar-pelajar terpilih di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Jelutong; Kampung Padang Cempedak, Tasek Gelugor; PPR Ampang Jajar; Guar Perahu dan Nibong Tebal, ada direkodkan dalam buku berjudul “Pulau Pinang, Aku Mahu Mengajar!”

Justeru, beliau berharap pelancaran buku itu dapat menyemarakkan lagi kesedaran komuniti di negeri ini.

“Berlatarbelakangkan sosio-ekonomi yang agak mencabar, anak-anak dari keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) ini sampai ada yang langsung tak boleh membaca, menulis dan mengira.

“Gerakan Pulau Pinang Mengajar ini dilaksanakan sejak setahun lalu, dengan ada lebih 100 orang sukarelawan, setakat mampu, anak-anak terpilih ini didorong untuk pandai membaca, menulis dan mengira.

“Kalau anak-anak ini tak didedah dengan proses sokongan sebegini, mungkin mereka akan berada dalam keadaan lebih mencabar lagi pada masa hadapan berbanding keadaan hidup keluarga mereka sekarang.

“Jadi, menerusi buku ini, diharapkan usaha memperkasakan lagi kesedaran komunuti dapat diteruskan,” jelasnya dalam sidang media selepas menyempurnakan acara pelancaran buku tersebut di Hikayat Bookstore Pulau Pinang dekat Lebuh Pantai pada 5 November 2020.

Turut serta, Pengurus Besar Wakaf Pulau Pinang, Rosidi Hussein dan editor buku tersebut, Mohd. Fitri Ibrahim.

SEORANG sukarelawan Gerakan Pulau Pinang Mengajar meneliti buku kumpulan esei tersebut, yang mula dipasarkan di Hikayat Bookstore Penang di sini.
BUKU ‘Pulau Pinang, Aku Mahu Mengajar!’ yang mengumpulkan 20 esei sumbangan para sukarelawan Gerakan Pulau Pinang Mengajar kini boleh dibeli di Hikayat Bookstore Penang dan Galeri Haji Pulau Pinang dekat Lebuh Acheh dengan harga RM25 senaskah.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Malaysian Relief Agency (MRA) atas kejayaan mengendali program sukarelawan tersebut.

“Sehingga kini, Gerakan Pulau Pinang Mengajar mempunyai lebih 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa, guru, akauntan, jurutera serta pelbagai latar belakang pekerjaaan profesional,” jelasnya lagi yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

MUHAMMAD Nazri

Sementara itu, Muhammad Nazri, 28, yang ditemui kemudian memberitahu bahawa beliau sangat gembira kerana diberi peluang sebagai sukarelawan dalam Gerakan Pulau Pinang Mengajar.

“Rata-rata bukan sahaja lemah penguasaan bahasa Inggeris, bahkan ada yang langsung tidak boleh membaca dalam bahasa Melayu dan mengira.

“Sebagai sukarelawan ini, saya mengajar perkara-perkara asas dalam membaca, menulis dan mengira sahaja…mungkin ini cara saya menyumbang setakat yang mampu kepada anak-anak terpilih daripada keluarga B40,” jelasnya yang juga jurutera di sebuah kilang.

Menurutnya, sesi latihan dan kuiz mudah bersama-sama anak-anak terpilih berkenaan diadakan pada hari Sabtu sahaja.

“Program sebegini memang wajar diperluaskan lagi, dengan penambahbaikan modul, mungkin juga masa belajar dari dua jam seminggu kepada tiga jam umpamanya,” jelasnya lagi sambil menzahirkan rasa bertuah kerana dapat menyertai Gerakan Pulau Pinang Mengajar.

AZIMAH Ismail

Seorang lagi sukarelawan, Azimah Ismail, 43, memberitahu bahawa sejak mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, Gerakan Pulau Pinang Mengajar turut melakukan kerja-kerja agihan pek bekalan makanan asas kepada keluarga pelajar terbabit.

“Berbekalkan tajaan daripada beberapa pihak, MRA dan Gerakan Pulau Pinang Mengajar mengagihkan bantuan keperluan asas,” ujarnya yang juga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MRA tersebut.

Mempunyai kerjaya profesional tersendiri, Azimah berkata bahawa beliau sendiri berasa bertuah kerana diberi peluang untuk mendidik anak-anak terpilih berkaitan membaca, menulis dan mengira.

“Saya mengajar sejam (subjek) bahasa Melayu dan sejam lagi (subjek) bahasa Inggeris, jadi dengan modul latihan yang ada, kita mencari jalan untuk meningkatkan kemampuan pembelajaran anak-anak terpilih ini.

“Sesi masa mengajar anak-anak ini mungkin perlu ditambah, dengan modul-modul menarik, jika sesuai dengan tahap perkembangan mereka,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pelancaran buku Pulau Pinang, Aku Mahu Mengajar!” tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING