Geran Mutiara Madani perkukuh peranan koperasi Pulau Pinang – Exco

Admin
img 20250930 wa0022

GEORGE TOWN – Gerakan koperasi merupakan antara nadi penting dalam pembangunan sosioekonomi negeri Pulau Pinang kerana berperanan menggalakkan semangat keusahawanan kolektif serta memacu kesejahteraan komuniti secara inklusif dan berdaya saing.

 

 

 

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, Kerajaan Negeri komited memperkukuh peranan koperasi melalui pelbagai inisiatif termasuk memperkenalkan Geran Mutiara Madani di bawah Bantuan Pembangunan Bagi Pemerkasaan Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang.

 

 

 

Dana maksimum sebanyak RM5,000 bagi setiap koperasi ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan koperasi sebagai pemangkin ekonomi rakyat yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing,” katanya.

 

 

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata demikian dalam sesi wawancara Program Bicara Prisma di Mutiara.fm, di sini hari ini.

 

img 20250930 wa0024
FAHMI Zainol ketika hadir ke konti Mutiara.fm petang tadi.

 

 

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan bahawa koperasi yang mempunyai perancangan ekonomi berdaya maju boleh memohon geran tersebut untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Induk yang dianggotai wakil Pejabat Exco Pembangunan Koperasi, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

 

 

“Permohonan boleh dibuat melalui SKM Wilayah Seberang Perai dekat Bukit Mertajam atau melalui imbasan kod QR menerusi laman Facebook rasmi saya ataupun hadir ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) iaitu di Tingkat 53, Pejabat Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi.

 

 

 

Permohonan ini tertakluk kepada kriteria serta syarat kelayakan antaranya koperasi mestilah berdaftar di Pulau Pinang, mempunyai struktur pentadbiran dan kewangan yang baik serta rancangan projek ekonomi yang mampan,” ujarnya.

 

 

 

Menurut beliau, koperasi di Pulau Pinang kini merangkumi pelbagai sektor termasuk peruncitan, perkhidmatan kewangan, industri asas tani, perladangan, pembangunan hartanah, pembinaan, perdagangan emas, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan.

 

 

 

“Sehingga 2024, terdapat 816 koperasi berdaftar dengan nilai perolehan mencecah RM263.8 juta dan aset terkumpul sebanyak RM1.17 bilion,” katanya.

 

img 20250930 wa0018
FAHMI Zainol (dua dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama juruhebah dan krew Mutiara.fm sejurus selepas sesi wawancara Bicara Prisma di sini.

 

Sejak 2021, jelas Fahmi lagi, Kerajaan Negeri menyalurkan sejumlah RM1.8 juta kepada 122 koperasi yang layak sebagai usaha melahirkan rakyat berdaya maju dengan pendapatan tinggi sejajar dengan Visi Penang2030 dan aspirasi Malaysia Madani.

 

 

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga melaksanakan pelbagai kursus dan program melibatkan koperasi agar lebih proaktif dalam menentukan hala tuju, termasuk menghidupkan semula koperasi yang tidak aktif bagi meningkatkan aliran kewangan dan perolehan mereka.

 

 

 

“Harapan kita (Kerajaan Negeri) agar koperasi sedia ada ini dapat berkembang menjadi koperasi berkluster besar dan berprestasi tinggi dengan produk berkualiti serta berdaya saing.

 

 

 

“Saya yakin dengan persekitaran yang kondusif di Pulau Pinnang yang menerima sokongan utuh daripada kerajaan, agensi berkaitan serta badan bukan kerajaan, gerakan koperasi di negeri ini dapat diperkasakan ke suatu tahap yang lebih baik,” katanya.

 

 

 

Sebagai rekod, koperasi mula bertapak di Tanah Melayu pada 1922 melalui penubuhan The Cooperative Societies Enactment 1922, yang menjadi asas kepada pembangunan gerakan koperasi di negara ini.

 

 

 

Kini, koperasi diiktiraf sebagai sektor ketiga ekonomi selepas sektor awam dan swasta, berperanan meningkatkan sosioekonomi anggota serta menjana pertumbuhan ekonomi negara.

 

 

 

 

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : EXCO