Gesaan keutamaan vaksin kepada ‘economy frontliners’ dapat perhatian MOSTI

Admin

GEORGE TOWN – Gesaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya barisan hadapan ekonomi atau ‘economy frontliners’ iaitu mereka yang berkhidmat dalam sektor perkilangan diberi keutamaan sebagai penerima vaksin memperoleh perhatian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, MOSTI mengambil maklum mengenai cadangan tersebut dan kini sedang merancang untuk melibatkan golongan berkaitan termasuk pekerja bukan warganegara dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijangka bermula pada pertengahan April ini.

Pihak MOSTI memberikan penerangan berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 yang dijangka bermula pada 19 April ini.

 

“Memang terdapat perancangan untuk melibatkan ‘economy frontliners’ dalam fasa kedua, tetapi perlu mengikut keadaan bekalan (vaksin) kerana pembekalan adalah agak rendah,” katanya pada sesi taklimat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Selain Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, taklimat tersebut turut disertai Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

Setiausaha Politik kepada Menteri MOSTI, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Timbalan Panglima Tentera Darat, Dato’ Mohammad Ab. Rahman; Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sahabudin Abd. Manan serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Asmayani Khalib turut hadir.

Pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 pada 16 Mac lalu, Kon Yeow mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 dapat disegerakan kepada mereka yang bekerja dalam sektor perkilangan di negeri ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Khairy memberitahu bahawa di Pulau Pinang, tumpuan akan diberikan kepada industri perkilangan memandangkan sektor tersebut dilihat menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini kini.

Dato’ Abdul Halim Hussain dan Dr. Norlela Ariffin antara Exco yang turut serta dalam sesi taklimat berkaitan.

“Ini adalah merujuk kepada kawasan-kawasan yang mungkin penjarakan fizikal sukar dibuat dalam kalangan pekerja-pekerja industri terutamanya melibatkan pekerja asing.

“Dengan cara ini, kita akan dapat membantu mengawal kluster industri di Pulau Pinang selain mengurangkan kadar jangkitan kes COVID-19 di negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy turut memuji pencapaian Pulau Pinang dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 1 yang disifatkan sebagai sangat baik.

“Tahniah diucapkan kepada Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pengarah Kesihatan Negeri kerana mengikut catatan sasaran barisan hadapan untuk Fasa 1 yang telah menerima dos pertama sekurang-kurangnya sudah hampir mencecah 96 peratus.

“Penerima yang telah menerima lengkap dua dos di Pulau Pinang pula adalah hampir 10,000 orang,” ulasnya.

Tambah beliau, jumlah pendaftaran penerima vaksin di Pulau Pinang sehingga 30 Mac lalu juga lebih tinggi berbanding peratusan kebangsaan iaitu 31 peratus atau 7.5 juta orang.

Khairy mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri sebelum mengadakan sesi taklimat CITF berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran di Pulau Pulau Pinang adalah lebih tinggi daripada negeri-negeri lain, namun demikian, saya percaya masih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk meningkatkan pendaftaran,” katanya.

Terdahulu, Khairy mengetuai delegasi dari pihak kementerian mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di sini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa sebanyak 10 fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan kesihatan telah dikenal pasti membabitkan dua buah dewan setiap daerah di negeri ini.

Selain itu tambah Kon Yeow, jumlah pendaftaran penerima vaksin COVID-19 sehingga 30 Mac 2021 di negeri ini adalah seramai 522,136 orang atau bersamaan dengan 37.71 peratus.

“Jumlah ini masih lagi dianggap rendah dan masih memerlukan kerja berpasukan yang kukuh serta berterusan untuk mencapai sasaran ditetapkan.

“Justeru, usaha bersepadu sedang giat dilaksanakan di lapangan dengan penglibatan pemimpin negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya untuk meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin di negeri ini.

“Saya juga berharap agar kerjasama semua agensi termasuk pihak MOSTI dapat diperkukuhkan lagi melalui sesi libat urus dalam usaha memerangi pandemik serta menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI