BANGI, SELANGOR – Skuad gimnastik artistik Pulau Pinang mempamerkan aksi cukup bertenaga apabila berjaya meraih pingat emas menerusi acara pasukan lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Konsistensi persembahan yang ditunjukkan oleh barisan atlet negara — Wilson Yeoh Wei Sin, Chew You Kai, Chew You Wei, Anson Tan Yu Hang, Neoh Kean Yong dan Liew Kai Jack — memastikan tempat teratas sekali gus melengkapkan dominasi mereka dalam saingan berpasukan.

Kecemerlangan Pulau Pinang diteruskan dalam acara keseluruhan individu lelaki menerusi persembahan kemas Wilson Yeoh Wei Sin yang berjaya mengutip pingat gangsa.

Turut menganyam kejayaan berganda buat kontinjen negeri ialah Amanda Ch’ng Lee Wen apabila meraih pingat gangsa bagi acara keseluruhan individu wanita.

Pengurus Pasukan Gimnastik Artistik Pulau Pinang, Tan Si Hing, meluahkan rasa bangga atas semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh para atlet meskipun berdepan cabaran cabaran kecederaan.
Menurut beliau, sasaran utama pasukan adalah untuk membawa pulang empat hingga lima pingat emas secara keseluruhan berdasarkan prestasi semasa dan keupayaan gimnas di gelanggang.
Memandangkan saingan masih berbaki dua hari lagi, jelasnya lagi, kontinjen Pulau Pinang meletakkan sandaran pingat emas seterusnya menerusi beberapa acara apparatus utama seperti rings, pommel horse, dan horizontal bar.
“Mengikut jadual, esok terdapat tiga acara untuk lelaki dan dua acara untuk wanita.

“Selepas itu, pada hari lusa, masih terdapat tiga lagi acara untuk lelaki dan dua lagi acara untuk wanita.
“Saya berharap agar pasukan kita dapat meneruskan semangat ini, kerana sasaran kita juga adalah untuk meraih lima pingat emas,” ujarnya dalam sidang media bersama-sama jurulatih gimnastik artistik (pasukan wanita), Felicia Loh Xiang Lin.
Difahamka, pasukan itu kini berhasrat mempertahankan reputasi cemerlang yang pernah direkodkan pada edisi SUKMA sebelum ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB