GIS bantu ibu bapa pilih pusat asuhan terbaik

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: NAZLEEN NAJEEB

GEORGE TOWN – Sejumlah 162 Taman Asuhan Kanak-kanak atau Taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini dipetakan melalui Sistem Maklumat Geografi (GIS) di bawah penyelarasan Pusat PEGIS Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Sistem pemetaan Taska tersebut dilancarkan pada November lalu oleh Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah A. Bakar, wakil Pengarah JKM Pulau Pinang, Zaharah Bebe, Pegawai Penyelaras Pusat PEGIS Pulau Pinang, Abdul Azhar Ibrahim, wakil dari syarikat penyediaan rangkaian dan teknologi maklumat, Northern Network of Diversity Advocates dan operator-operator Taska Pulau Pinang.

Chong Eng ketika berucap menyatakan bahawa pelaksanaan projek berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui PWDC dan Pusat PEGIS Pulau Pinang bagi memberi kemudahan kepada golongan ibu bapa mencari perkhidmatan asuhan kanak-kanak terbaik di kawasan berdekatan kediaman atau tempat kerja masing-masing.

“Sistem pemetaan ini merupakan yang pertama di Malaysia, sekali lagi, Pulau Pinang mendahului pemetaan taska melalui GIS.

“Sistem ini bukan sahaja memudahkan pencarian Taska yang terdekat dan bersesuaian, tetapi juga memberi manfaat kepada ibu bapa dan penjaga di bawah satu sistem berintegriti,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Sistem Pemetaan Taska di Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Kanak-kanak.

Jelas beliau, melalui sistem terbabit, ia secara tidak langsung dapat membendung perkembangan bilangan Taska tidak berdaftar dan beroperasi secara haram tanpa sebarang pemantauan daripada pihak berwajib.

“Fenomena Taska yang tidak berdaftar ini amat membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana pengasuhan serta penjagaan kanak – kanak tidak boleh dikompromi.

“Oleh demikian, saya ingin menyeru semua operator Taska yang masih tidak berdaftar untuk segera merujuk di mana-mana pejabat JKM terdekat bagi proses pendaftaran,” seru Chong Eng.

Tambahnya, jawatankuasa kerja khas akan mengkaji dan meneliti usaha-usaha penubuhan Taska, Tadika dan pusat-pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini bagi memastikan semuanya mengikut piawaian serta peraturan ditetapkan pihak berwajib.

Sistem GIS Pemetaan Taska yang diimplementasi turut merangkumi kategori Taska berdaftar yang menerima kanak-kanak kurang upaya (OKU), Taska Komuniti (TASKOM), Taska di institusi, Taska di tempat kerja dan Taska di rumah.

Bagi maklumat lanjut, layari laman sesawang, epegis.penang.gov.my/pwdc-taska/ atau hubungi PWDC di talian 04 – 261 2835.