Goh Choon Aik angkat sumpah Exco, pegang portfolio Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat

Admin
whatsapp image 2026 03 06 at 13.09.42

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Rahsia disempurnakan dengan penuh istiadat di hadapan Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Yang Mulia Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dekat Anjung Seri Mutiara di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long dan barisan Ahli Exco Kerajaan Negeri serta ex-officio turut menyaksikan istiadat berkaitan.

whatsapp image 2026 03 06 at 14.52.33whatsapp image 2026 03 06 at 14.57.15img 20260306 wa0030whatsapp image 2026 03 06 at 14.52.33 (3)whatsapp image 2026 03 06 at 14.52.33 (2)

Bercakap kepada pemberita usai istiadat tersebut, Kon Yeow mengumumkan penstrukturan semula beberapa portfolio melibatkan tiga ahli Exco Kerajaan Negeri susulan pelantikan Choon Aik.

“Saudara Goh Choon Aik diberikan tanggungjawab memegang portfolio Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat.

“Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid kekal memegang portfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, namun portfolio Perpaduan Masyarakat yang sebelum ini di bawah tanggungjawab beliau kini digantikan dengan portfolio Pembangunan Koperasi.

“Dalam pada itu, Yang Berhormat Rashidi Zinol kini memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar dan mengambil alih portfolio Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan yang disandang oleh Yang Berhormat Fahmi sebelum ini.

“Portfolio Perdagangan yang sebelum yang ini dipegang oleh Rashidi diserahkan kepada Goh Choon Aik

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Goh Choon Aik atas pelantikan ini, dan berharap beliau dapat menunaikan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa portfolio Perdagangan merupakan portfolio yang amat penting, khususnya dalam keadaan ekonomi semasa yang menyaksikan peniaga kecil, sederhana mahupun syarikat besar berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup.

Menurut beliau, selain perdagangan, aspek perpaduan komuniti dan nasional juga menjadi isu yang amat penting ketika ini memandangkan wujud pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di peringkat global serta tempatan.

“Diharapkan Saudara Goh Choon Aik akan mengambil sedikit masa untuk memahami skop portfolio ini selaras dengan portfolio pada peringkat Persekutuan, dan seterusnya merangka idea bagi memastikan usaha negeri Pulau Pinang selari dengan agenda nasional,” ujarnya.

Dalam masa sama, Kon Yeow turut berharap usaha tersebut dapat membawa kesejahteraan, kebahagiaan dan pembangunan berterusan kepada rakyat negeri ini.

Mengulas perubahan portfolio lain, Kon Yeow memberitahu bahawa ‘pemindahan’ portfolio Pembangunan Koperasi kepada Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid diharap dapat memperkukuh perkembangan gerakan koperasi di Pulau Pinang selari dengan usaha pada peringkat Persekutuan.

“Sementara itu, YB Rashidi Zinol yang kini memegang portfolio Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan memikul tanggungjawab penting dalam memastikan bekalan makanan negeri mencukupi, walaupun Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang kecil.

“Sektor tersebut pastinya melibatkan puluhan ribu pengusaha termasuk penternak, pesawah dan usahawan agroteknologi yang memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan makanan,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow dalam pada itu turut menegaskan bahawa walaupun setiap Exco mempunyai tanggungjawab terhadap portfolio masing-masing, namun semua ahli Exco tetap memikul tanggungjawab secara bersama berdasarkan prinsip tanggungjawab individu dan kolektif.

“Secara individu, setiap Exco bertanggungjawab terhadap portfolio masing-masing, namun secara kolektif semua ahli Exco bertanggungjawab terhadap dasar, program, projek dan keputusan Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus bergerak sebagai satu pasukan yang kukuh bagi meneruskan Visi Penang 2030 serta memastikan aspirasi rakyat Pulau Pinang dapat direalisasikan.

“Maka, kita berharap semua Exco akan memimpin jentera-jentera kerajaan untuk menyahut apa juga cabaran, dan paling penting dapat memenuhi aspirasi rakyat jelata,” jelasnya.

Pada 4 Mac lalu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun memperkenan pelantikan Choon Aik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang selaras dengan Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi menggantikan ADUN Pantai Jerejak, YB Fahmi bin Zainol yang ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli Majlis MMKN berkuat kuasa pada hari yang sama.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & LAW SUUN TING
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT