Golongan OKU nikmati potongan cukai taksiran 50 peratus

Admin

GEORGE TOWN – Golongan orang kurang upaya (OKU) bakal menikmati insentif potongan cukai taksiran sebanyak 50 peratus daripada jumlah cukai taksiran tahun 2018, ujar Datuk

Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang. Pengumuman tersebut adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang bersidang dan meluluskan cadangan berkenaan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung inisiatif murni tersebut, mantan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan, Joseph Ng Soon Siang berkata, insentif cukai 50 peratus tersebut mesti memenuhi syarat dan kelayakan.

“Pemotongan 50 peratus ini hanya layak kepada mereka yang memiliki kad OKU, dan ia (pemotongan) hanya diberikan kepada premis pertama sahaja di dalam kawasan pentadbiran MBPP… premis selebihnya adalah tidak layak menikmati insentif ini.

“Mereka (OKU) hanya perlu menunjukkan kad OKU kepada MBPP dan kita akan melakukan pemotongan, manakala bagi yang sudah membayar cukai tersebut lebih awal, Majlis akan mendebitkannya semula ke dalam bil yang akan datang,” ujarnya.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.