Gotong-royong cegah aedes – ADUN

Admin

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai baru-baru ini menyeru orang ramai khususnya penghuni rumah pangsa untuk bersama-sama mengamalkan gotong-royong dalam usaha mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata demikian sejurus selepas menyertai program gotong-royong di kawasan rumah pangsa Desa Mawar anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Thean Teik dekat sini baru-baru ini.

“Aktiviti gotong-royong bukan sahaja menyihatkan badan dan bersihkan kawasan sekitar, tetapi juga dapat mencegah pelbagai jenis penyakit antaranya demam denggi yang berpunca daripada nyamuk aedes.

“Perkara ini (demam denggi) agak membimbangkan kerana mencatatkan peningkatan kes di Pulau Pinang dan kita mengambil pendekatan mengadakan gotong-royong setiap bulan dalam usaha membendungnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Hon Wai dalam sidang media sama menasihati penduduk yang mengalami demam, sakit sendi dan hilang selera makan, ruam dan muntah-muntah supaya segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang sentiasa menyokong serta menjayakan aktiviti gotong-royong dijalankan JKKK di kawasan Air Itam.

Turut serta dalam gotong-royong tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.