Kempen korporat berjaya kumpul 100 beg darah

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

PERAI – Syarikat korporat, Galaxie Dance Studio baru-baru ini menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat dengan menjalankan Kempen Derma Darah di konkos sebuah pusat membeli belah di sini baru-baru ini.

Kempen bermula pada jam 10 pagi sehingga 3 petang itu adalah bertujuan menambah bekalan darah Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat kini.

Selain itu, pada penganjuran tersebut, turut diadakan adalah kempen kesedaran berhubung inisiatif berkenaan.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel ketika ditemui berkata, program seumpama itu amat penting bagi menampung keperluan bekalan darah pada masa mendatang.

“Program seperti ini merupakan satu usaha murni yang boleh dijalankan komuniti bagi membantu pihak kesihatan mengumpul bekalan darah.

“Saya berharap lebih ramai individu dapat menderma darah agar dapat menyelamatkan nyawa seseorang yang amat memerlukannya,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Sehingga tamat program, sebanyak 100 beg darah berjaya dikumpul dengan kerjasama Unit Tabung Darah HSJ.