Graduan KITAB diseru tambah ilmu pengetahuan, bersama-sama Kerajaan Negeri jayakan Visi Penang2030 

Admin

PADANG KOTA – Graduan-graduan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) diseru untuk terlibat sama menjayakan Visi Penang2030 yang berpaksikan Negeri Pintar, Hijau dan Berteraskan Keluarga yang Menginspirasikan Keluarga.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, para pelajar harus terus berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan hingga mencapai peringkat tertinggi.

“Harapan saya kepada para graduan, jangan jadikan pengajian di KITAB ini sebagai medan pengajian terakhir, berusahalah untuk  meneruskan lagi ke peringkat yang lebih tinggi untuk menambah ilmu pengetahuan.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya kepada KITAB dalam menjadikan KITAB sebagai institusi ulung di negeri Pulau Pinang.

“Serentak dengan itu, kita (Kerajaan Negeri) juga berharap, para graduan dapat terlibat sama dalam Visi Penang2030 bagi memperkasakan sumber modal insan yang berpengetahuan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen KITAB Kali Ke-11 di Dewan Sri Pinang baru-baru ini.

Majlis konvokesyen tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua (T.Y.T), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Mufti Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Lembaga Pengelola KITAB, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pengerusi Lembaga Pengarah Usaha Tarbiah Sdn. Bhd., Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan warga pentadbiran serta tenaga pengajar KITAB.

Abdul Rahman ketika berucap turut senada dengan Afif di mana beliau menyarankan agar graduan terus menuntut ilmu tanpa had.

“Seperti apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W, tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China iaitu maknanya menuntut ilmu seluas mungkin mudah-mudahan anak-anak semua dapat menjadi orang yang beriman, berilmu dan menjadi tarbiah kepada manusia sejagat selaras dengan Rahmatan Lil Alamin,” jelas Abdul Rahman.

Pada majlis tersebut, majlis didahului dengan penganugerahan Diploma Syariah Elektif Undang-Undang, Diploma Tahfiz Al-Quran Elektif Qiraat, dan Diploma Kewangan Elektif Syariah.

Turut disampaikan adalah anugerah-anugerah khas dan penyampaian anugerah diperingkat sijil.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI