Green Robotics Challenge gabung kreativiti & sains robotik

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN – Penganjuran Green Robotics Challenge 2013 yang menggabungkan kreativiti dan sains robotik  menjadi platform kepada pelajar-pelajar  sekolah untuk lebih meminati ilmu sains  dan matematik di sekolah masing-masing.

Kenyataan tersebut dinyatakan Pengarah Urusan Motorola Technology Sdn. Bhd. merangkap peneraju Penang Science Cluster (PSC) Sustainable Education and Learning Pillar, Yew Tian Tek pada majlis pelancaran tersebut di sini baru-baru ini.

Tian Tek berkata, minat dalam kalangan pelajar mampu membentuk komuniti modal insan yang lebih saintifik serta kompetatif.

“Malah, ia juga mampu meningkatkan kesungguhan pelajar dan belia untuk berkecimpung dalam industri kejuruteraan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Penganjuran tahun kedua Green Robotics Challenge 2013 merupakan hasil usahasama Kolej KDU Pulau Pinang dengan Penang Science Cluster Berhad (PSCB).

Bersempena itu, sebanyak 80 buah sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh Pulau Pinang telah mengambil bahagian dalam penganjuran bertemakan ‘Green’ (Hijau) berkenaan.

Majlis pelancaran program berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey, teraju PSC Cultivation Innovation & Research, Loo Cheng Cheng dan Program Lead for Lego Robotics, Azian Wahab.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej KDU Pulau Pinang, Dr. Chong Beng Keok dalam ucapannya menyatakan bahawa pemilihan tema Hijau adalah sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri mendidik minda pelajar ke arah cintakan kitar semula serta penghijauan dalam kehidupan seharian.

“Pertandingan ini dapat membantu cita-cita negara kita untuk membentuk persekitaran yang lebih berdaya saing dan kondusif.

“Semua ini akan terbukti dengan peningkatan sikap ingin tahu para pelajar dalam merekacipta inovasi baru pada masa hapadan,” ujarnya di samping menyokong misi Kerajaan Negeri dalam mencungkil bakat serta minat belia terutamanya pelajar untuk terus meminati bidang sains, kejuruteraan dan robotik.

Tambah Beng Keok, sejumlah RM12 juta setahun disediakan Kerajaan Negeri untuk membiayai sekolah-sekolah yang mempunyai minat dalam bidang kejuruteraan dan robotik.