Guan Eng anggap GST ‘sedut darah’ rakyat, Kerajaan Negeri laksana projek demi kepentingan awam

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menganggap pengenaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai ‘sedut darah’ rakyat.

Tegasnya, pentadbirannya yang melaksanakan projek-projek infrastruktur awam di negeri ini turut merasai beban kenaan cukai GST oleh Kerajaan Persekutuan tersebut.

“Mereka (Kerajaan Persekutuan) tidak lihat, dan mengakui beban yang sebenarnya ditanggung oleh rakyat dan Kerajaan Negeri sendiri.

“Itulah sebabnya, GST ini betul-betul macam ‘sedut darah’ rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Penarafan Jalan Raja Uda (P191) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan serta wakil-wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, kerja-kerja pelebaran Jalan Raja Uda daripada dua kepada empat lorong sepanjang empat kilometer (km) sepatutnya tidak dikenakan 6 peratus GST, kerana projek itu demi kepentingan awam dan bukan perniagaan.

“Bayangkan berapakah (kenaan) GST yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri jika mengambil angka lebih RM16 juta (RM16,255,498.51) yang telahpun dibelanjakan untuk membina jalan, sejak tahun 2008,” tanya beliau yang juga ADUN Air Putih.

Selain itu, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri bagi tahun 2017 memperuntukkan sejumlah RM12.3 juta untuk meneruskan projek-projek menaik taraf Jalan-jalan Negeri.

“Tiga projek sedang dibina, dan enam projek lain pada peringkat reka bentuk,” jelasnya.