Peruntukan khas laksana COMBI komitmen perangi denggi bersama

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

MACHANG BUBOK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap peruntukan RM100,000 bagi pelaksanaan program ‘Communication For Behavioural Impact’ (COMBI) dapat menyumbang kepada penurunan bilangan kes denggi di Pulau Pinang.

“Seperti tahun lepas (2016), tahun ini pun kita (Kerajaan Negeri) memberikan peruntukan khas ini kerana ia komitmen bersama.

“Kalau pembiakan nyamuk aedes tidak diperangi, semua tahu bahawa denggi ini boleh membunuh anggota keluarga kita,” katanya pada Majlis Pelancaran Karnival Kesedaran Denggi Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2017 di sini 30 September lalu.

Sebelum itu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu, sehingga minggu ke-37 tahun ini menyaksikan 1,838 kes denggi dilaporkan, iaitu penurunan sebanyak 14 peratus berbanding tempoh sama
pada 2016.

“Kita (Pulau Pinang) telah berjaya menurunkan bilangan kes secara keseluruhan sebanyak 55.8 peratus pada tahun 2016.

“Namun, kita (Pulau Pinang) tidak harus merasa selesa memandangkan jumlah kematian pada tahun ini sehingga kini telah mencapai 13 laporan berbanding 12 laporan pada tahun yang lalu, dan rekod yang paling tinggi kematian akibat denggi ialah sebanyak 19 kes kematian iaitu pada 2015,” ujarnya sambil menyeru semua pihak supaya saling bekerjasama dengan COMBI.

Selain itu, tambah Afif, Kerajaan Negeri membelanjakan RM424,000 setahun untuk penggunaan aplikasi dalam telefon pintar, ‘artificial intelligence’ untuk meramal kejadian wabak denggi di negeri ini.

“Dengan adanya teknologi baru ini, kita mampu meramal lokaliti-lokaliti yang berpotensi tinggi mengalami wabak denggi,” jelasnya.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. M. Sukumar Mahesan dan Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah, Dr. Noraishah Jaafar turut hadir pada majlis itu.

Program COMBI merupakan salah satu strategi digerakkan para sukarelawan yang peka dan prihatin dalam kalangan masyarakat setempat untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi.