Guan Eng saman akhbar sebab siar kenyataan fitnah Pengerusi BN P. Pinang

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memfailkan saman ke atas akhbar perdana berbahasa Inggeris, The Star kerana menyiarkan kenyataan berunsur fitnah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Teng Chang Yeow mengenai isu penjualan 49 peratus kepentingan syarikat usahasama pembangunan Pulau Jerejak.

“The Star menyiarkan kenyataan Teng (Chang Yeow) kononnya saya telah menolak perjanjian usahasama pada tahun 2013 antara PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dan Ideal Property Group (Ideal), yang mengakibatkan PDC rugi sejumlah RM220 juta dalam bentuk keuntungan atas perjanjian.

“The Star bukan sahaja secara berterusan menyiarkan kenyataan Teng (Chang Yeow), malah turut menyiarkan kononnya seorang mangsa mati akibat banjir, ketika semua akhbar lain melaporkan kematian itu adalah suatu kemalangan, kerana belum hujan lagi ketika (kes) kematian berlaku,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini 24 November lalu.

Turut serta, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat.

Pada 16 November lalu, difahamkan, The Star antara lain menyiarkan kenyataan Chang Yeow mempersoal langkah Guan Eng yang berdiam diri selepas menolak perjanjian usahasama tersebut, tetapi baru-baru ini memutuskan penjualan 49 peratus kepentingan PDC dalam Tropical Island Resort Sdn. Bhd. (TIRSB) di Pulau Jerejak kepada syarikat subsidiari swasta, Ideal.

“Teng (Chang Yeow) gagal mengemukakan bukti bahawa sayalah yang menolak rundingan sehingga merugikan RM220 juta keuntungan atas perjanjian untuk PDC.

“Orang awam di Pulau Pinang juga tentu ingin tahu mengapa media arus perdana tidak menyiarkan pendedahan Teng (Chang Yeow) mengenai bukti sayalah yang telah menolak perjanjian usahasama antara PDC dan Ideal Property (Ideal) dalam tahun 2013 ke atas (membabitkan kepentingan) TIRSB, yang kononnya menjana keuntungan sejumlah RM220 juta,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Terdahulu, ketika TIRSB ditubuhkan pada tahun 1997, PDC mempunyai 49 peratus kepentingan minoriti yang menyamai nilai pelaburan RM15.44 juta, manakala baki 51 peratus lagi majoriti kepentingan dalam syarikat usahasama pembangunan Pulau Jerejak itu dikuasai oleh syarikat subsidiari Persekutuan, UDA Holdings Berhad, UDA.

Pada tahun 2001, Guan Eng mendakwa bahawa Kerajaan Negeri era Gerakan dan BN seakan mengkhianati rakyat Pulau Pinang apabila 80 ekar daripada keseluruhan 895 ekar di Pulau Jerejak dijual kepada TIRSB dengan harga serendah RM12.95 juta sahaja.

Walhal, menurut Guan Eng, harga tanah tersebut mengikut nilai pasaran ketika itu adalah RM47.6 juta, sekaligus mengakibatkan kepentingan rakyat Pulau Pinang rugi kira-kira RM34.6 juta.

“Kita (Kerajaan Negeri era Pakatan Harapan) hari ini berjaya mendapatkan balik RM4.4 juta pinjaman dan jumlah pelaburan RM15.44 juta dengan hasil penjualan sebanyak RM156 juta.

“Kita (Kerajaan Negeri hari ini) tidak boleh membuat sebarang keputusan dengan 49 peratus kepentingan dalam syarikat ketika TIRSB direkodkan rugi sejumlah RM40 juta pada hujung tahun 2015, dengan jaminan keuntungan RM140.6 juta itu menyamai hampir 10 kali ganda nilai pelaburan awal kami (Kerajaan Negeri),” jelasnya.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);