Sijil halal, permohonan juga daripada syarikat antarabangsa – Exco

GEORGE TOWN – Pelaksanaan pelbagai inisiatif dan perancangan oleh Halal Penang dan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) jelas memperlihatkan pertambahan ketara terhadap permohonan pensijilan halal dalam kalangan syarikat tempatan mahupun antarabangsa.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, sehingga Oktober 2016, sebanyak 930 syarikat telah mendapatkan pensijilan halal berbanding hanya 55 buah syarikat pada tahun 2008.

“Melalui pendekatan agresif yang dijalankan, Halal Penang turut menerima permohonan daripada syarikat-syarikat antarabangsa yang berminat untuk mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pengurusan Halal Pulau Pinang.

“Hasilnya, tahun ini sebanyak tiga syarikat dari Jepun dan Australia Selatan (1) telah berjaya mendapatkan pengiktirafan sijil (halal) bagi produk berasaskan air minuman serta jus, perkhidmatan logistik dan produk biji kopi,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Justeru, bagi memantapkan pertumbuhan pasaran dan industri halal tempatan, Abdul Malik menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menerusi Halal Penang turut mengambil pendekatan melalui jalinan kerjasama dua hala bersama Wilayah Shaanxi, China dan Korea.

“Pelbagai program dilaksanakan seperti lawatan rasmi dan pemadanan perniagaan.

“Pihak industri di sana (China dan Korea) juga telah memohon bimbingan konsultasi dan latihan halal yang diperlukan daripada pihak kita (Kerajaan Negeri), memandangkan permintaan halal semakin meningkat di negara-negara ini

“Selain China dan Korea, produk usahawan tempatan di bawah Halal Penang yang dibawa meneroka serta diberi pendedahan baru di pasaran antarabangsa juga telah meraih permintaan tinggi di Belanda dan Turki,” jelas beliau.