ADUN cadang garis panduan mural di P. Pinang

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai mencadangkan supaya diwujudkan suatu garis panduan berkaitan lukisan dinding atau mural yang terdapat di Pulau Pinang.

Menurutnya, garis panduan tersebut perlu bagi memastikan mural yang dihasilkan di negeri ini adalah bersesuaian dengan sejarah dan warisan tempatan.

“Saya dapati bahawa kebelakangan ini, trend mural yang terdapat di George Town terlalu pasca moden, banyak seni postmoden yang tidak serasi dengan warisan tempatan.

“Misalnya, lukisan seorang perempuan yang besar (setinggi lima tingkat bangunan) di pusat membeli-belah di George Town, langsung tiada kaitan dengan warisan mahupun keadaan setempat.

“Tidak seperti di Jeti Chew, lukisan yang diberi nama ‘Budak dari Sumatera’ yang menaiki sampan, menceritakan perjalanan kanak-kanak tersebut dari Sumatera, Indonesia ke Pulau Pinang (Jeti Chew)…ada maksud, nilai sejarah dan warisan tempatan,” ujarnya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hon Wai memberitahu, sehingga kini, terdapat 52 arca dikenali sebagai ‘Marking George Town‘ dan 86 mural di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town serta lapan lagi mural di Seberang Perai dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.84 juta.

“Sejumlah RM30,000 turut diperuntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan tahunan arcaarca yang dilaksanakan melalui panggilan sebut harga atau kontraktor di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” jelasnya.

Dalam pada itu, cadangan untuk mewujudkan suatu garis panduan itu turut disokong sepenuhnya oleh ADUN Bertam, Shariful Azhar Othman yang berharap agar mural yang terdapat di Pulau Pinang hanya menceritakan perihal sejarah negeri dan negara.

Terdahulu, Shariful Azhar juga membangkitkan persoalan berhubung jumlah mural yang terdapat di Pulau Pinang termasuk kos. Soalan beliau dijawab oleh Exco Pembangunan Pelancongan yang juga ADUN Batu Lancang, Law Heng Kiangif (document.currentScript) {