GEORGE TOWN – Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) selaku pemaju dan pemilik aset projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara disyaratkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menyediakan pelan pengurusan trafik (TMP) bagi setiap lokasi stesen yang bermula dari George Town hingga ke Permatang Damar Laut.
Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata syarat itu supaya langkah mitigasi berwajib dapat dianalisis dan dilaksanakan secara terperinci.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memberitahu bahawa penggunaan dron merupakan antara pelan jangka pendek dalam memantau masa secara nyata bagi mengoptimumkan aliran trafik.
“Mulai Januari 2026, pelaksanaan free-flow traffic melibatkan pusingan U baharu, dan aliran trafik sehala akan diperkenalkan secara berfasa di kawasan ‘hotspot’ seperti Jalan Magazine, kawasan perindustrian bebas (FIZ) Bayan Lepas dan persimpangan Sunny Point (Batu Uban).
“Beberapa persimpangan lampu isyarat juga akan disusun semula (reconfigured) oleh pihak MRT Corp bagi memperbaiki aliran kenderaan.
“Penjadualan kerja pembinaan akan dilaksanakan seperti kenderaan berat hanya dibenarkan beroperasi di luar waktu puncak,” jelasnya dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 19 November 2025.
Berhubungan pelan mitigasi jangka panjang pula, beliau memberitahu bahawa pelaksanaan free-flow traffic di persimpangan utama yang terbukti berkesan akan diteruskan demi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan, sekiranya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa satu platform umum untuk menyalurkan maklumat dan menerima aduan daripada orang awam dan pengguna jalan raya akan diwujudkan, dengan membabitkan semua projek berskala besar kerajaan dan pihak swasta.
“(Kita) menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi membiasakan diri dengan penggunaan pengangkutan awam yang bakal berperanan sebagai sistem pengantara kepada Laluan Mutiara kelak.
“(Di samping itu, kita akan) memastikan perkhidmatan bas melengkapkan pengantara mencukupi bagi rangkaian perjalanan dari rumah atau tempat kerja ke stesen LRT,” jelasnya sebagai menjawab soalan lisan daripada ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MUHAMMAD IQBAL HAMDAN