Guna Jalan Jip tanpa permit boleh dikenakan tindakan mahkamah dan kompaun

Admin

KEBUN BUNGA – Perbadanan Bukit bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan melaksanakan Peraturan-Peraturan Perbadanan Bukit Bendera (Kawalan Lalu Lintas) 2022 yang bakal diwartakan pada 31 Mac 2022 dan berkuatkuasa 1 Jun ini.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, pelaksanaan peraturan tersebut adalah bertujuan menyelesaikan beberapa masalah berkaitan lalu lintas yang sudah lama wujud termasuk penggunaan Jalan Jip tanpa permit.

“Selain masuk tanpa permit, isu lain termasuklah bilangan kenderaan yang tidak terkawal, isu servis jip dan kereta bugi, insiden kemalangan serta kesesakan trafik di Bukit Bendera.

“Justeru, PBBPP telah memperkenalkan langkah-langkah bagi mengatasi masalah ini selepas kami menerima aduan serta cadangan daripada penduduk dan pengunjung seperti kad akses kepada penduduk, pemandu perkhidmatan jip, peniaga dan kontraktor serta meningkatkan kawalan keluar dan masuk di Jalan Jip.

“Banyak insiden tidak diingi pernah terjadi sebelum ini, antaranya adalah lori lebih muatan terbalik di selekoh lalu menghalang laluan dan konvoi motosikal,” tegas Zairil dalam satu sidang media di pintu masuk Jalan Jip ke Bukit Bendera di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; ADUN Air Itam, Josseph Ng Soon Siang; Pengurus Besar PBBPP, Cheok Lay Leng dan Jurutera Awam Penguasa (Jalan) Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Goh Kiet Rhee.

Zairil berkata, permohonan untuk permit menggunakan Jalan Jip selepas ini perlu dibuat melalui PBBPP di laman sesawang https://corporate.penanghii.gov.my/index.php/ms/permohonan-permit-masuk-jalan-jip atau boleh didapati di Pejabat PBBPP kecuali hari Sabtu dan Ahad.

“Penggunaan Jalan Jip adalah terhad kepada agensi kerajaan, penduduk, peniaga, pengusaha perkhidmatan jip dan kereta bugi, kontraktor, pembekal atau penganjur program yang mempunyai urusan tertentu di Bukit Bendera.

“Ia haruslah mendapat sokongan untuk tujuan daftar permit masuk daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kelulusan PBBPP,” maklum Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Sementara itu, Lay Leng ketika menjawab soalan media memberitahu bahawa sejak tahun 2017 hingga kini sebanyak 10 kemalangan direkodkan menggunakan laluan Bukit Bendera.

“Antara tindakan yang boleh dikenakan oleh PBBPP terhadap individu yang ingkar kepada pertaturan tersebut termasuklah mendakwa di mahkamah dan kompaun,” tegasnya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR