Guna repellent kurang risiko gigitan aedes – Exco Kesihatan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK – Produk losyen penghalau nyamuk (mosquito repellent) yang diperkenalkan syarikat Fumakilla diharap turut menjadi alternatif kegunaan warga negeri ini dalam mengurangkan risiko dijangkiti wabak denggi, kata Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

“Kegunaan losyen repellent adalah satu lagi kaedah untuk mengurangkan risiko digigit nyamuk aedes, yang boleh kita cuba amalkan,” ujarnya pada Majlis Kempen Penggunaan Repellent Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan wakil korporat syarikat Fumakilla turut hadir pada majlis tersebut.

Afif yang juga ADUN Seberang Jaya berkata, Kerajaan Negeri akan menggunakan apa jua kaedah yang difikirkan berkesan demi memerangi wabak denggi di negeri ini.

Bercakap pada sidang media selepas itu, beliau turut memprotes tangkapan beramai-ramai anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) pada Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri, 31 Ogos lepas.

“Kalau PPS yang ditubuhkan berdasarkan bidang kuasa Kerajaan Negeri pun dianggap tidak sah, jangan pula penubuhan COMBI (Communication for Behavioural Impact) yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri untuk mencegah penyakit zoonotik pun selepas ini, turut dilarang atas alasan tidak ditubuhkan di bawah ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia),” responnya.

Direkodkan, demam denggi di negeri ini meningkat sebanyak 531 kes atau 174.7 peratus kepada 835 kes bagi tempoh Januari hingga 14 Jun lepas, berbanding 304 kes bagi tempoh sama tahun lepas.