Henti buang sampah ke dalam sungai, seru Exco

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: NAZLEEN NAJEEB

GEORGE TOWN – Sungai merupakan khazanah alam yang amat penting kepada manusia, justeru Kerajaan Negeri menyeru semua rakyat Pulau Pinang khususnya yang menetap di pinggir sungai supaya sentiasa menjaga kebersihan dan keindahannya di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif penyeragaman teknologi hijau menggunakan Infinitesimal Quantum Persistent Reflection (iQPR) bagi memperbaiki kualiti air sungai di negeri ini.

“Walaupun Kerajaan Negeri komited untuk membersihkan sungai dan meningkatkan kualiti alam sekitar, kerjasama daripada semua pihak adalah penting untuk memastikan kejayaan yang berterusan.

“Hentikan pembuangan sampah sewenang-wenangnya ke dalam sungai, ubah tabiat tidak bertanggungjawab serta cintai sungai kita kerana ia (sungai) yang bersih dan ‘sihat’ dapat meningkatkan imej negeri,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Informasi Sungai Pinang bagi memantau kemajuan penggunaan teknologi iQPR setelah tiga bulan penggunaannya sejak 1 Jun lalu.

Kon Yeow memberitahu, teknologi iQPR merupakan salah satu projek perintis dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang di bawah program ‘Satu Negeri, Satu Sungai’ bersama STS Solutions Sdn. Bhd. untuk terus merawat sungai di Pulau Pinang.

“Jika kita lihat, air Sungai Pinang kini lebih bersih dengan Indeks Kualiti Air (Water Quality Index – WQI) bertambah baik dengan ketara, enapcemar hitam dan bau busuk juga dapat dihapuskan,” jelasnya yang berpuas hati dengan hasil kualiti air kini.

Menurut laporan suku tahun pertama bagi Projek Kerja-kerja Penyelenggaraan dan Pembersihan Sungai Pinang Melalui Teknologi iQPR di dua lokasi iaitu di Lorong Kulit dan Kampung Nelayan (jeti), Jelutong menunjukkan bacaan WQI yang memberangsangkan.

Walau bagaimanapun, STS Solutions Sdn. Bhd. mensasarkan bacaan 65.00 mata dengan Kelas II berbanding bacaan terkini 75.71 mata di Lorong Kulit dan 71.00 mata di Kampung Nelayan (Kelas III).

Sebagai rujukan, kelas kualiti air Kelas I adalah yang terbaik, manakala Kelas V adalah yang terburuk. Kelas kualiti air tersebut ditentukan berdasarkan kepada WQI sama ada bersih, sedikit tercemar atau tercemar.

Selain Sungai Pinang, beberapa batang sungai lagi turut menggunakan teknologi iQPR, antaranya, Sungai Jelutong, Sungai Mati dan parit Kampung Jawa.

Teknologi iQPR menggunakan kaedah gelombang kuantum untuk memproses agen-agen iQPR daripada campuran larutan air mineral semulajadi. Agen agen iQPR akan dicurahkan ke dalam sungai untuk menyerap jasad air dan tanah bagi tujuan merihabilitasi.

Teknologi hijau berkenaan tidak menggunakan bahan kimia atau biologi, tidak menambahkan bahan pencemaran sewaktu rawatan dan tidak memerlukan tenaga untuk mengimbangi ekosistem sungai.