Guna teknologi pantau aktiviti ‘tidak sah’, kilang tidak berlesen – Jagdeep

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menggunakan teknologi seperti dron dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti kilang kitar semula plastik tidak berlesen di negeri ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Sigh Deo berkata, Kerajaan Negeri komited dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti ‘tidak sah’ sehingga menjejaskan alam sekitar.

 

“Kerajaan Negeri kini sedang meneliti isu ini bagaimana kita boleh menyeragamkan tindakan penguatkuasaan (dengan agensi-agensi berkaitan) supaya tindakan tegas dan pantas dapat diambil.

 

“Ada pelbagai agensi berkaitan yang mempunyai peruntukan perundangan yang berbeza dan kita (Kerajaan Negeri) sedang berusaha mengkoordinasinya (melalui jawatankuasa kecil sedia ada) bagi memastikan kehendak perundangan berkaitan dapat dilaksanakan,” katanya pada persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 15 Oktober 2020.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon berhubung jumlah kilang kitar semula plastik yang beroperasi dan status tindakan terhadap kilang pemprosesan plastik tidak berlesen di negeri ini.

 

Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti sejumlah 102 kilang kitar semula plastik beroperasi di negeri ini dan daripada jumlah tersebut sebanyak 11 buah kilang tidak berlesen.

 

Kesemua kilang kitar semula plastik ini berada di Seberang Perai iaitu di Seberang Perai Utara sebanyak 34 buah kilang berlesen dan satu tidak berlesen; di Seberang Perai Tengah (36 berlesen, tujuh tidak berlesen) dan Seberang Perai Selatan (21 berlesen, tiga tidak berlesen).

 

“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak 34 operasi penguatkuasaan telah dijalankan sehingga September 2020 dan pihak berkuasa tempatan berwajib telah mengeluarkan 16 notis dan 11 tawaran kompaun ketidakpatuhan,” ujar ADUN Datuk Keramat itu.

 

Bagi menjawab soalan berhubung kekangan penguatkuasaan, Jagdeep memaklumkan bahawa selain sukar mendapatkan maklumat lengkap syarikat yang menjalankan pengoperasian kilang bagi tujuan dokumentasi untuk tindakan undang-undang di mahkamah, pihak penguat kuasa juga sukar mendapatkan bukti aktiviti dan kesalahan bagi operasi yang sedang dijalankan.

 

“Selain itu, proses tindakan mahkamah yang mengambil masa dan infrastruktur serta pembangunan kilang kitar semula yang tidak ikut kelulusan merancang.

 

“(Dan) tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara berasingan oleh semua jabatan dan agensi berikutan senarai peruntukan undang-undang yang berbeza serta tindakan penguatkuasaan yang tidak menyeluruh,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & ALVIE CHENG