Gunakan cuti panjang hujung minggu ini untuk keluar mengundi, seru Kon Yeow

Admin
img 20240704 wa0049

JAWI – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru kepada pengundi yang layak supaya menggunakan peluang cuti panjang hujung minggu ini untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Beliau berkata, sambutan Hari Warisan Dunia yang jatuh pada 7 Julai (Ahad) dan Awal Muharram pada 8 Julai (Isnin) memberi cukup ruang kepada para pengundi terutamanya yang tinggal di luar negeri Pulau Pinang untuk pulang mengundi pada 6 Julai ini.

“Menjelang tempoh 48 jam terakhir, fokus kami adalah untuk menyeru seramai mungkin pengundi untuk keluar mengundi.

“Kebetulan hari Isnin adalah hari gantian cuti umum, dan saya berharap orang muda yang bekerja di luar Pulau Pinang dapat mengambil kesempatan cuti selama tiga hari untuk membuang undi pada hari Sabtu ini,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada program makan durian bersama-sama pengamal media dekat Kompleks Rakan Muda Seberang Perai Selatan (SPS) di sini sebentar tadi.

img 20240704 wa0053

img 20240704 wa0050

img 20240704 wa0056

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Gooi Hsiao-Leung (ADUN Bukit Tengah); Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk) dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, berbaki dua hari menjelang hari pengundian, gerak kerja kempen jentera Kerajaan Perpaduan telah meliputi 90 peratus kawasan di Sungai Bakap setakat ini.

Mengulas mengenai tanggapan bahawa kempen PRK kali ini dilihat agak suram, Kon Yeow menyatakan bahawa faktor geografi Sungai Bakap yang meliputi kawasan kampung dan separa bandar mempengaruhi perkara itu.

“Disebabkan Sungai Bakap bukan kawasan berpendudukan padat, maka cara kempen juga perlu mengikut ciri-ciri geografi kawasan di sini, yang mana ceramah secara kelompok, kempen dari rumah ke rumah terutamanya taman-taman perumahan telah dijalankan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Mengulas mengenai tindakan pihak pembangkang yang membuat laporan polis berhubung isu air dan projek terowong dasar laut, Kon Yeow berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

“Kami sudah menerangkan perkara ini sejak beberapa tahun lalu, dan sekiranya ada laporan polis jadi biarlah pihak polis yang menyiasat perkara ini.

“Namun begitu, mereka sepatutnya membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi mereka memilih untuk buat laporan polis,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri meraikan kira-kira 100 orang pengamal media daripada pelbagai agensi berita sempena program makan durian bersama media sebentar tadi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS