Kids Day Out ceriakan kanak-kanak kanser, beri ruang berehat daripada rutin rawatan

Admin
img 5464

 

GEORGE TOWN – Kanak-kanak yang berdepan kanser juga berhak menikmati zaman kanak-kanak mereka dengan bermain, bergembira serta meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan tanpa dibayangi rutin rawatan.

Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, pendekatan itu menjadi antara mesej utama program Kids Day Out 2026 anjuran Persatuan Sahabat Kanser (FOCCAN) Wilayah Utara yang memasuki edisi ke-11.

img 5452

“Program ini menghimpunkan kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan, telah tamat rawatan serta mereka yang tidak lagi memerlukan rawatan.

“Kids Day Out mengajak kita melihat mereka sebagai kanak-kanak, bukan sebagai pesakit kanser.

“Mereka mahu bermain, ketawa, berkawan, meluangkan masa bersama keluarga dan merasai kehidupan seperti kanak-kanak yang lain.

img 5459 img 5455

“Sebab itu, konsep Kids Day Out sangat bermakna kepada golongan kanak-kanak ini,” ujarnya ketika berucap pada program tersebut yang berlangsung di Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulhizzam Abdullah; Penasihat FOCCAN, Dr. Tan Eng Guan; dan Pengerusi FOCCAN Wilayah Utara, Maznah Tayib.

Mengulas lanjut, Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, program itu memberi peluang kepada kanak-kanak terlibat berehat seketika daripada rutin rawatan termasuk kemoterapi, radioterapi dan pembedahan, selain mencipta kenangan bersama keluarga serta rakan-rakan.

“Ini adalah satu hari untuk mereka berehat daripada rutin rawatan, bermain dan mencipta kenangan bersama keluarga serta rakan-rakan.

img 5449 img 5450 img 5441 img 5440 img 5439

“Pertemuan ini juga penting kerana mereka dapat berkongsi pengalaman, membina keyakinan dan memberi semangat antara satu sama lain,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zi Sen memberitahu bahawa aspek kesihatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada rawatan fizikal, sebaliknya kesejahteraan emosi dan kualiti hidup pesakit serta keluarga turut perlu diberi perhatian.

“Kita perlu terus meningkatkan kesedaran tentang kanser kanak-kanak dan memastikan mereka serta keluarga mereka tidak berasa terpinggir.

“Kesihatan bukan sahaja mengenai rawatan fizikal, kita juga perlu mengambil kira kesejahteraan emosi dan kualiti hidup pesakit serta keluarga mereka,” jelasnya lagi.

“Justeru, Kids Day Out turut menjadi platform kerjasama antara jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan sektor korporat dalam menyediakan sokongan serta perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada kanak-kanak kanser dan keluarga.

“Perjuangan melawan kanser kanak-kanak bukanlah tanggungjawab keluarga mereka sahaja, ini adalah perjuangan kita bersama,” katanya.

Difahamkan, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, antaranya pameran berkaitan kesihatan kanak-kanak, pertunjukan pentas, persembahan nyanyian, pemeriksaan kesihatan serta pameran badan beruniform.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI