Guppy, MPSP ke 34 sekolah SPT pula

Admin

Oleh : AHMAD ADIL MOHAMAD

BUKIT MeRTAJAM – 34 buah sekolah lagi sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) yang menyertai Anugerah Sekolah Hijau 2013 anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masing-masing menerima sumbangan pasu bunga daripada Guppy Plastic Industries Sdn. Bhd. (Guppy).

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, Guppy sebelum ini turut menyumbang sejumlah pasu dan pokok bunga kepada sekolah-sekolah terpilih sekitar Seberang Perai Utara (SPU) atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sebanyak 80 sekolah menyertai pertandingan kehijauan sekolah peringkat Seberang Perai bagi tahun ini.

“Saya berharap sekolah-sekolah yang terlibat akan menjaga pokok yang disumbangkan dengan penuh kasih sayang dan markah akan diberikan semasa pengauditan dibuat,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis MPSP, Tan Cheong Heng dan Rohani Basiri (Pengurus Kanan Pentadbiran Guppy) turut hadir pada majlis di Kompleks MPSP Cawangan SPT di sini.

Maimunah berkata, Guppy terpanggil untuk menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu selepas melihat keghairahan pelajar di sekolah tertentu dalam menjayakan Program Keceriaan Sekolah.

“Saya berharap sekolah-sekolah yang terlibat akan menjaga pokok yang disumbangkan dengan penuh kasih sayang dan markah akan diberikan semasa pengauditan dibuat yang merangkumi 10 kriteria.

“Antara kriteria yang akan dinilai ialah kebersihan kawasan sekolah, penjimatan air, dan aktiviti-aktiviti lain yang kreatif,” kata Maimunah.

Justeru, katanya, program ini diharap dapat menjadikan Seberang Perai semakin bersih dan hijau berikutan kriteria amalan hijau yang dipraktikkan oleh sekolah- sekolah yang terlibat.