Gurney Bay, tempat rekreasi seisi keluarga

KERJA-KERJA pembangunan Fasa 1 Gurney Bay kini telah melebihi 95 peratus meliputi kawasan seluas 27 ekar.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, JOSHUA WOO SZE ZENG ketika dihubungi berkata, Fasa 1 projek berkenaan hampir siap dan dijangka dibuka kepada umum pada akhir tahun ini.

 

JOSHUA Woo Sze Zeng.

“Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) masih perlu menjalankan pemantauan bagi memastikan tapak tersebut adalah selamat untuk menerima pengunjung.

 

“Saya berharap semua kerja-kerja pembangunan termasuk pembaikan selepas teguran oleh pihak JKR dapat diselesaikan secepat mungkin oleh pihak kontraktor.

 

“Gurney Bay bersedia untuk menjadi tempat yang meriah dan wajib dilawati oleh seisi keluarga sama ada untuk beriadah atau hanya menghabiskan masa berkualiti bersama,” ujarnya.

 

CHRIS Lee Chun Kit.

Nada sama turut dikongsi oleh mantan ADUN Pulau Tikus, CHRIS LEE CHUN KIT yang menyifatkan bahawa Gurney Bay adalah tempat untuk semua peringkat usia.

 

“Gurney Bay adalah tempat untuk semua, tua dan muda bergembira dan meluangkan masa.” katanya.

 

 

Sementara itu, bagi MOHAMMAD NOOR NADZIR MOHAMAD NASIR, 31, Gurney Bay bakal menjadi tarikan pelancongan terbaharu bukan sahaja untuk warga Pulau Pinang tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

 

MOHAMMAD Noor Nadzir Mohamad Nasir.

“Saya percaya Gurney Bay merupakan tempat yang ‘positif’ dalam mempromosikan interaksi dan memupuk hubungan kekeluargaan selain memberi peluang untuk bersantai bersama sambil menikmati panorama indah.

 

“Saya juga amat teruja apabila dapat melihat pembangunan kini berjalan lancar dan mula nampak beberapa kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, ‘skate park’ dan ruangan santai.

 

“Namun, aspek keselamatan di kawasan rekreasi berkenaan juga penting memandangkan kawasan tersebut akan dikunjungi oleh pengunjung dari pelbagai peringkat usia.

 

“(Dan) perlu ada perancangan dalam pengurusan trafik yang baik di kawasan tersebut termasuk menyediakan ruangan parkir yang cukup,” katanya lanjut sambil mengharapkan Gurney Bay bakal menjadi tempat yang bermanfaat untuk semua.

 

Bagi MARCUS IMRAN KENNEDY, 22, beliau memuji inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan seimbang di negeri ini.

 

Saya rasa sangat bagus apabila Kerajaan Negeri mereka bentuk tempat rekreasi dan riadah seperti Gurney Bay ini, akan jadi lebih banyak pilihan lokasi pelancongan di Pulau Pinang.

 

“Cuma saya tidak pasti sama ada Gurney Bay akan mempunyai lot-lot komersial atau kiosk untuk perniagaan kecil bagi memberi peluang kepada penduduk setempat memulakan perniagaan sendiri.

 

“Sekiranya ada, maka ia akan menjana sektor keusahawanan tempatan di samping meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk di sekitar kawasan tersebut,” ulasnya pelajar jurusan teknologi maklumat itu.

KERJA-kerja penanaman pokok giat dilaksanakan kini.

Seorang lagi responden, LOO KEE KHIEN, 22, mengakui rasa teruja menunggu siapnya projek berskala mega tersebut.

 

“Bergantung pada apa yang dibangunkan di sana dan pastinya sesuatu menarik menanti semua,” kata jurutera muda berkenaan.

 

Terdahulu, wartawan Buletin Mutiara sempat meninjau ke lokasi berkaitan dan pada sebelah pagi didapati beberapa individu melakukan senaman ringan di sepanjang jajaran Persiaran Gurney. Namun rata-rata yang ditemui enggan memberi komen hanya menzahirkan rasa teruja dengan pembangunan projek ikonik pesisir pantai, Gurney Bay.

SALAH satu kemudahan yang dibangunkan di Gurney Bay.

Didapati pagar anti panjat juga telah dibuka dan mereka yang melalui kawasan tersebut dapat melihat dengan jelas kerja-kerja pembangunan giat dijalankan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD