Gurney Wharf dijangka siap pertengahan 2023 – Exco

PADANG KOTA – Projek taman ikonik di atas laut yang dikenali sebagai ‘Gurney Wharf’ dijangka siap pada pertengahan tahun 2023.

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo, kini Kerajaan Negeri dalam proses penilaian dan pelantikan konsultan.

“Secara keseluruhannya seramai tujuh konsultan telah dipertimbangkan untuk dilantik terdiri daripada Arkitek (termasuk Pengurus Projek), Arkitek Landskap, Jurutera Awam & Struktur, Jurutera Mekanikal & Elektrik, Jurukur Bahan, Jurutera Marin Pantai & Tambakan dan Konsultan Alam Sekitar (termasuk Auditor Alam Sekitar).

“Pelantikan konsultan telah dilaksanakan pada awal Oktober 2020, dan seterusnya, dokumen tender sedang disediakan bagi tujuan pelantikan kontraktor berkaitan,” ujar Jagdeep ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mengenai rancangan penuh Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan projek Gurney Wharf pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kali Ke-14 pagi ini.

Melalui projek tersebut, Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan kawasan hijau dan lapang bagi tujuan rekreasi serta riadah untuk dinikmati oleh penduduk-penduduk Pulau Pinang.

Sebagai tambahan, Jagdeep sebelum itu memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri pada awalnya telah mengenal pasti kerja-kerja landskap dan pengindahan taman rekreasi bagi Projek Gurney Wharf.

“Ia yang merangkumi penyediaan kawasan promenade untuk pejalan kaki, kawasan permainan taman skate, kioks, tandas awam, kedai serbaneka dan menara pemandangan.

“Kemudahan lain adalah seperti kawasan permainan kanak-kanak, penyediaan sistem perparitan dan saliran, penyediaan wetlands, penyediaan foothpath on grade, penyediaan tempat letak kereta terbuka, penyediaan tangga dan laluan ramp orang kurang upaya (OKU), turfing sementara di Gurney Paired Road dan tandas awam.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga telah bersetuju untuk penyediaan komponen tambahan seperti kemudahan gerai makanan dan minuman, kedai serbaneka serta perkhidmatan teksi air.

“Walau bagaimanapun, susulan penularan wabak COVID-19, Kerajaan Negeri akan meneliti semula keperluan setiap komponen projek berkenaan melalui satu Jawatankuasa Pelaksanaan Projek,” jelas beliau yang juga ADUN Datuk Keramat.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD