Gurney Wharf, proses panggilan tender bakal bermula

Admin

GEORGE TOWN – Kerja-kerja tebus guna tanah seluas 131 ekar bersebelahan Persiaran Gurney bagi projek pembangunan Gurney Wharf dijangka siap pada penghujung September tahun ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, 40 ekar daripada 131 ekar keluasan tanah akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk dibangunkan.

 

JAGDEEP Singh Deo.

“Sehingga hari ini, 94 peratus kerja-kerja tebus guna tanah siap, termasuk kerja-kerja rawatan tanah (soil treatment) dan kawalan pesisir pantai (coastal protection).

 

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) menjangkakan ia siap pada penghujung bulan September ini sebelum diserahkan kepada Kerajaan Negeri dalam suku akhir tahun ini,” ujarnya pada sidang media di Persiaran Gurney dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Timbalan Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi.

 

Sejajar dengan visi Penang2030 ‘A Family-focused Green and Smart State that Inspires the Nation‘, Jagdeep memaklumkan bahawa projek yang bernilai RM180 juta tersebut akan disempurnakan secara berfasa antara 18 hingga 24 bulan.

 

“Selepas proses penyerahan (kepada Kerajaan Negeri), ia akan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk dibangunkan.

 

“Kerajaan Negeri akan mendapatkan pandangan daripada pakar perunding dalam dan luar negara bagi reka bentuk dan kerja-kerja pembangunan Gurney Wharf ini.

(Dari kiri); AR. Yew Tung Seang, S. Bharathi, Jagdeep Singh Deo dan Ir. Addnan Mohd. Razali menunjukkan lakaran konsep pembangunan Gurney Wharf dengan berlatarbelakangkan tapak tebus guna projek berkaitan.

“(Dan) dalam tempoh tiga bulan akan datang, Kerajaan Negeri akan memulakan proses untuk panggilan tender tersebut.

 

“Pembangunan Gurney Wharf ini akan menjadikan ia sebuah taman awam bertaraf dunia lengkap dengan kemudahan yang boleh diakses oleh semua rakyat, kawasan riadah hijau dan bersambung dengan kejiranan sekitar.

 

“Projek ini (Gurney Wharf) adalah projek tambakan yang boleh dijadikan contoh untuk pelaksanaan projek PSR (Projek Tambakan di Selatan Pulau Pulau Pinang), yang mana jika ia (tambakan) dibuat secara terkawal serta mengikut segala syarat di sisi undang-undang, pasti berjaya (dilaksanakan) demi kepentingan rakyat,” jelasnya yang berhasrat menjadikan Gurney Wharf sebagai ikon terbaharu Pulau Pinang kelak.

 

Difahamkan, antara kemudahan awam yang akan dibangunkan adalah astaka, laluan awam bagi pejalan kaki (promenade), taman permainan kanak-kanak, ‘skate park‘, pesisir pantai buatan manusia, ‘wetland‘ dan dermaga teksi air.

 

 

IMEJ yang dirakamkan menggunakan dron.

Mengulas mengenai teksi air, Jagdeep memberitahu bahawa ia merupakan sebahagian daripada cadangan yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

 

“Cadangan untuk menjadikan teksi air sebagai salah satu medium pengangkutan bukan sesuatu yang baru kerana ia ada dalam Pelan Induk Pengangkutan untuk masa hadapan.

 

“Malah, Kerajaan Negeri turut mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan dermaga teksi air dan kita (Kerajaan Negeri) akan memohon lesen daripada Kementerian Pengangkutan kelak.

 

“(Dan) teksi air bukanlah sesuatu yang baru, seperti saya maklumkan sebelum ini, banyak negara-negara maju turut menggunakan perkhidmatan ini sebagai medium alternatif pengangkutan,” ulasnya sebagai menjawab pertanyaan wartawan.

ILUSTRASI artis reka bentuk Gurney Wharf.

Projek Gurney Wharf adalah inisiatif Kerajaan Negeri dan konsep pelan induk bagi projek ini dibuat oleh Grant Associates, iaitu sebuah firma jurutera perunding antarabangsa yang terlibat dalam pembangunan ‘Garden’s by the Bay‘ di Singapura, ‘The Hive’, ‘Cambridge Accordia‘ dan ‘Bristol Harbour Site’ di United Kingdom.

 

Sebagai rekod, pada 2016, Kerajaan Negeri telah mengadakan sesi bancian awam dan 95 peratus responden bersetuju pelaksanaan projek taman awam bertaraf dunia, Gurney Wharf.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ALVIE CHENG