Guru Kafa turut terima bonus Raya

Admin

GEORGE TOWNPemberian bonus Hari Raya Aidilfitri 2012 sebanyak setengah bulan dengan minima RM600 dan RM300 juga kepada guru Kafa adalah sama dengan tahun lalu dan bukan habuan pilihanraya ke 13 seperti yang diwar-warkan pihak media Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya menyatakan bahawa pemberian bayaran minimum setakat RM600 kepada anggota yang berpendapatan rendah adalah berasaskan kepada prinsip pemberian sama yang telahpun diberi pada tahun lalu dan bukan untuk tujuan ‘gula-gula’ pilihanraya seperti mana sindiran dilemparkan kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri telah mengumumkan untuk memberi bonus setengah bulan gaji dengan tambahan bayaran minimum sebanyak RM600 kepada anggota perkhidmatan awam di bawah Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan kerajaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Pemberian tersebut adalah berasaskan prinsip pemberian sama dan bukannya ‘gula-gula’ pilihanraya sebagaimana disindir pihak media BN,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Guan Eng memberitahu, amaun pemberian bonus setengah bulan gaji yang perlu dibelanjakan Kerajaan Negeri sebanyak RM3.9 juta sememangnya meningkat berbanding tahun lepas.

“Ini adalah kerana mengambil kira bilangan penjawat awam (3,780 orang) yang telah bertambah berbanding tahun lalu (3,645 orang).

“Pada masa sama, ia juga berdasarkan kepada kenaikan gaji tahunan anggotaanggota perkhidmatan awam dan kadar kenaikan gaji 13 peratus yang telahpun diselaraskan pada April 2012 lalu,’’ jelasnya.

Tambah beliau, pemberian bonus setengah bulan gaji dengan tambahan bayaran minimum sebanyak RM600 adalah juga terpakai kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun negeri dan adalah dipertanggungkan kepada peruntukan mengurus pentadbiran masing-masing dan bukan kepada Kerajaan Negeri.

Pemberian bonus ini diperakaunkan pada 9 Ogos lalu.