Sambutan Ulangtahun Tapak Warisan Ke-4 penuh warisan

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNBersempena Sambutan Ulangtahun ke-4 George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO tahun ini, hampir 50 aktiviti kebudayaan dan warisan merangkumi persembahan kesenian dan budaya, rumah terbuka, permainan tradisional, pameran serta bazar makanan telah diadakan sepanjang tiga hari bermula 6 Julai sehingga 8 Julai baru-baru ini.

Bertemakan ‘Live Heritage’ atau Warisan Hidup, sambutan kali ini adalah lebih meriah, muhibah dan bermakna apabila jalan-jalan sekitar Tapak Warisan Dunia diserikan dengan pelbagai gelagat pelancong dan aktiviti kebudayaan.

Keunikan George Town yang mempunyai kepelbagaian budaya dan etnik serta nilai estetika unggul telah mendapat pengiktirafan UNESCO.

Malah, susur galur sejarahnya sebagai pusat perdagangan antarabangsa antara Kepulauan Melayu, Tanah Besar China, India dan Eropah telah melahirkan kepelbagaian dalam senibina, bahasa dan budaya di Pulau Pinang.

“Keseirasan dan penumpuan (convergence) terhadap keunikan yang ada telah menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua pihak menyokong sepenuhnya inisiatif pemuliharaan warisan yang tidak ternilai ini termasuk program-program pembelajaran, pembangunan dan penyelidikan serta konservasi,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang turut serta dalam program ‘ Streets of George Town’ di sini baru-baru ini.

Dalam program ‘Streets of George Town’, pimpinan negeri termasuk wakil-wakil kedutaan dari Thailand, Australia, Finland, Perancis dan India dibawa menaiki beca dari Jalan Padang Kota Lama ke bangunan Persatuan Teochew Pulau Pinang, Lebuh Gereja bagi menikmati minuman dan makanan tradisi kaum Teochew.

Selain itu, delegasi turut melawati kawasan Masjid Kapitan Keling, Kampung Kolam dan muzium mini di Dewan Makam Noordin bagi menyaksikan sejarah kewujudan kaum India Muslim dan industri Barakath di Pulau Pinang.

Delegasi turut dibawa melawati Khoo Kongsi Cannon Square, Lebuh Acheh, Lorong Lumut, Lorong Soo Hong dan Lebuh Armenian bagi menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan dan festival yang diadakan. Ternyata, keterujaan dan keunikan kaum serta budaya telah merubah lanskap George Town pada hari tersebut.

Sambutan yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Pusat Warisan Dunia dan Penang Global Tourism (PGT) turut mendapat sokongan daripada Yayasan Agama Islam Pulau Pinang, Persatuan Muslim Pulau Pinang, Gabungan Liga Muslim, Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh, the Clan Councils of Penang, the Indian Muslim Community Malaysia, Malaysian Indian Chamber of Commerce dan badan-badan bukan kerajaan lain.