Insentif RM100 ribu untuk Chong Wei, Syabas!

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNPemain utama perseorangan lelaki badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima Anugerah Insentif Pencapaian Cemerlang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atas pencapaian cemerlang memperoleh pingat Perak di Sukan Olimpik London 2012 di sini baru-baru ini.

Selaras dengan pengiktirafan tersebut, sumbangan insentif bernilai RM100,000 turut disumbangkan kepada beliau.

Ketika ditemui, Chong Wei, 30, yang ditemani abangnya, Lee Chong Hoon, menyatakan bahawa beliau telah cuba sedaya-upaya ketika menentang pemain China, Lin Dan secara rubber set’ di Sukan Olimpik London baru-baru ini.

“Terima kasih atas sokongan semua terutama rakyat Malaysia.

“Saya telah bermain pada tahap maksimum, tetapi, mungkin faktor kecederaan menyebabkan saya berhati-hati ketika bermain,” kata Chong Wei pada Majlis Penyampaian Anugerah Insentif Pencapaian Cemerlang PBAPP yang disempurnakan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar di sini baru-baru ini.

Turut hadir, barisan Exco Kerajaan Negeri, Yang diPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Mohd. Salleh Man, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokthar Mohd. Jait dan Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa.

Chong Wei, Mei lalu mengalami kecederaan buku lali kanan pada pusingan akhir Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China ketika menentang pemain perseorangan Denmark, Peter Hoeg Gade. Ekoran itu, beliau telah berehat selama dua bulan setengah dan persediaan menghadapi Sukan Olimpik London hanya dijalankan dalam tempoh dua minggu sebelum itu.

Chong Wei dalam pada itu turut mengakui bahawa beliau mengalami tekanan hebat ketika melangkah ke pusingan akhir dan adakala beliau menangis kerana terpaksa menahan kesakitan.

“Kini, saya akan berehat dari sebarang kejuaraan kerana ingin pulih dan bersedia untuk kejohanan Liga China pada September ini.

“Saya ingin memberi tumpuan kepada kejohanan berikutnya iaitu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea pada 2014,” tegas Chong Wei yang tidak berhasrat untuk menyatakan penglibatannya dalam Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 kelak.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian unik anak kelahiran Bukit Mertajam apabila berjaya memperoleh pingat di dua kejohanan Sukan Olimpik berturut-turut.

“Bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan dan memenangi pingat di Sukan Olimpik Beijing 2008 dan Sukan Olimpik London 2012.

“Sungguhpun tidak memenangi pingat emas, tetapi beliau telah memenangi ‘kilauan emas’ dalam hati rakyat Malaysia,” ujarnya pada majlis sama.

Bersempena itu, Chong Wei yang turut berhasrat menubuhkan Lee Chong Wei Badminton Centre dan Yayasan Datuk Lee Chong Wei bagi memastikan adanya pelapis generasi muda. Serentak itu, beliau turut menyerahkan salinan buku hasil karyanya kepada Ketua Menteri dan barisan Exco yang hadir.

Sidang redaksi Buletin Mutiara mengucapkan SYABAS kepada Datuk Lee Chong Wei!

BARISAN pucuk pimpinan negeri Pulau Pinang bersama meraikan pencapaian cemerlang Lee Chong Wei (lapan dari kiri) pada Sukan Olimpik London 2012 dengan penyampaian insentif khas RM100,000 kepada beliau di Komtar baru-baru ini.
BARISAN pucuk pimpinan negeri Pulau Pinang bersama meraikan pencapaian cemerlang Lee Chong Wei (lapan dari kiri) pada Sukan Olimpik London 2012 dengan penyampaian insentif khas RM100,000 kepada beliau di Komtar baru-baru ini.