Hab Digital Karpal Singh @SK Sungai Gelugor, ke arah pendidikan berasaskan teknologi digital

Admin

SERI DELIMA – Sekolah Melayu tertua di Malaysia, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor kini mempunyai hab pembelajaran digital yang lengkap seiring percambahan teknologi semasa.

 

Berfungsi menyediakan kemudahan ‘Digital Classroom‘ yang lebih berkesan kepada para murid dan guru, hab pembelajaran digital ini turut dilengkapi dengan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

 

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, dengan memperkenalkan hab pembelajaran digital di sekolah, ia bukan sahaja memberi peluang untuk menambah ilmu pengetahuan tetapi juga memberi akses kepada murid-murid dan guru-guru terhadap kandungan pendidikan yang berkualiti secara dalam talian.

 

RAMKARPAL Singh (tengah) bersama-sama Jagdeep Singh Deo (dua dari kanan) dan ibunya, Gurmit Kaur (dua dari kiri) serta Fairus Ayob (kiri sekali) dan Syerleena Abdul Rashid merakam kenangan di plak perasmian Hab Digital Karpal Singh di sini.

“Saya amat berbesar hati apabila melihat hab digital ini dapat dibangunkan di sekolah ini selaras dengan perubahan dalam suasana pembelajaran masa kini yang berasaskan teknologi digital.

 

“Pada saya, bukan sahaja Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan (Malaysia) bertanggungjawab terhadap mutu pendidikan di sekolah tetapi juga menjadi sebahagian peranan Kerajaan Negeri dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan negara pada masa hadapan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hab Digital dan Jamuan Hari Raya Peringkat SK Sungai Gelugor dekat sini, pagi ini.

 

 

Turut berucap, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Guru Besar SK Sungai Gelugor, Fairus Ayob.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Zulkifli Ahmad; isteri kepada mendiang Karpal Singh, Gurmit Kaur; wakil-wakil daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang; Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Gelugor serta jawatankuasa pengajur SK Sungai Gelugor.

 

Sementara itu, Fairus dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Ramkarpal kerana memberi sumbangan bagi pembangunan hab digital tersebut.

 

SUASANA Hab Digital Karpal Singh di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor.

“Jadi sebagai menghargai sumbangan YB Ramkarpal, hab pembelajaran digital ini, kita (SK Sungai Gelugor) namakan sebagai Hab Digital Karpal Singh.

 

“(Dan) penubuhan hab pembelajaran digital ini amat bertepatan kerana ia selaras dengan kehendak Kementerian (Pendidikan Malaysia) ke arah Pendidikan Alaf Ke-21 (PAK21).

 

“Inisiatif ini juga akan merapatkan jurang bukan sahaja antara guru dan murid-murid tetapi juga guru dan ibu bapa murid-murid di sekolah ini,” katanya yang turut bersyukur dengan penyempurnaan Hab Digital Karpal Singh itu.

 

Difahamkan, sejumlah RM48,793 diperuntukan bagi membangunkan hab pembelajaran digital yang lengkap dengan peralatan terkini dan kandungan literasi digital sesuai dengan perkembangan semasa.

 

Peruntukan tersebut dibahagikan kepada empat fasa sehingga tahun 2021, iaitu Fasa 1 membabitkan perbelanjaan berjumlah RM8,853 bagi penyediaan peralatan pada Mei 2018; Fasa 2 bagi pembelian kelengkapan teknologi maklumat, komputer riba dan program pembangunan (RM31,940) dan baki RM8,000 bagi membiayai langganan jalur lebar sehingga tahun 2021.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI