Muatnaik aplikasi AktifPenang, setiap jarak adalah amal kutip RM100,000

GEORGE TOWN – Orang ramai terutamanya yang gemarkan aktiviti riadah dan sukan digalakkan memuatnaik aplikasi terbaru, AktifPenang dalam usaha mempromosikan Pulau Pinang yang lebih sihat.

Aplikasi tersebut digunakan bagi merekod dan mengesan jarak aktiviti sukan yang dilakukan sama ada melalui berjalan kaki, berlari mahupun berbasikal sambil menderma.

Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri bagi Belia & Sukan, Steven Sim Chee Keong, kempen memuatnaik aplikasi berkaitan adalah bagi mengumpul sejumlah RM100,000 untuk didermakan kepada badan kebajikan terpilih.

“Melalui aplikasi ini, setiap kilometer (km) yang dicatatkan akan melayakkan anda menderma sebanyak RM0.10 dan kami (penganjur dan penaja) mensasarkan kutipan mencecah RM100,000 menjelang akhir tahun 2016 iaitu bersamaan 1,000,000 km.

“Memang mustahil untuk seorang individu mengumpulkan sejuta kilometer (km) setahun, tetapi kita mampu lakukannya beramai-ramai, justeru, jadilah sebahagian daripada komuniti AktifPenang,” katanya pada Majlis Pelancaran Kalendar Sukan Massa Negeri Pulau Pinang 2016 di sini baru-baru ini.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Frederick Tan Teck An serta pengerusi persatuan-persatuan sukan negeri Pulau Pinang turut sama hadir memeriahkan majlis. Chong Eng dalam ucapannya menyarankan agar rakyat Pulau Pinang supaya terus mengekalkan gaya hidup sihat dalam usaha menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai sebuah ‘Bandaraya Sukan’.

“Ayuh, muat naik aplikasi ini dan terus bersukan kerana setiap jarak diambil kira dan setiap jarak itu adalah amal.

“Kerajaan Negeri percaya dalam membina sebuah masyarakat yang lebih baik, rakyatnya perlu menjalani kehidupan yang lebih sihat dan salah satunya adalah melalui aktiviti kesukanan,” jelas beliau.

Serentak dengan itu, Chong Eng turut memuji MSNPP kerana berjaya mengatur pelbagai program bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) sambil mengumpul dana kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Antaranya, pengumpulan dana berjumlah RM1 juta pada 2014 untuk membeli lima buah van orang kurang upaya (OKU) bagi kegunaan pertubuhan kebajikan, Eden Handicap Centre.

}