Hadir terus ke PPV Jawi untuk dos pertama, gamit kegembiraan warga emas

SEPASANG warga emas berusia 60 tahun ditemani pengiring antara yang hadir di PPV Daerah SPS dekat Dewan Serba Guna Jawi di sini pagi tadi bagi mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 secara hadir terus.

JAWI – Mulai pagi ini warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas serta masih belum mendapatkan janji temu suntikan vaksin COVID-19 dos pertama melalui aplikasi pintar MySejahtera, dibenarkan untuk hadir terus (walk-in) di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam sahaja sekitar Bahagian Seberang Perai.

Tiga PPV berkenaan adalah dekat PPV SP Arena, Seberang Jaya; PPV Dewan Millenium, Kepala Batas; dan PPV Dewan Serba Guna Jawi di sini.

Mulai esok, kaedah hadir terus dibenarkan di PPV Timur Laut dan Barat Daya dekat Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE Convention Centre) Bayan Baru.

Susulan itu, sekitar jam 10:00 pagi tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB membuat tinjauan lanjut di lokasi bagi mendapatkan maklum balas awam berhubung inisiatif terbaharu ini.

Secara umum, perkarangan dalam pagar Dewan Serba Guna Jawi kelihatan agak sesak, hingga memaksa beberapa anggota polis yang bertugas mengerah sekalian pengiring warga emas supaya keluar dari kawasan tempat duduk menunggu para penerima vaksin termasuk mereka yang mempunyai janji temu menerusi MySejahtera.

JASON H’ng Mooi Lye (kanan) turut hadir dan mendapatkan maklum balas daripada Pegawai Operasi PPV SPS (kiri) mengenai pelaksanaan pemberian vaksin kepada warga emas secara kaedah hadir terus di sini pada awal pagi tadi.

Menurut Pegawai Operasi PPV SPS, sebelum inipun sebenarnya operasi pemberian vaksin di sini telah mencapai kapasiti yang ditetapkan iaitu 1,200 dos suntikan sehari.

“Sebelum inipun, operasi di sini telahpun mencecah kapasiti maksimum.

“Seperti pada pagi ini, PPV SPS hanya mendapatkan 50 kuota suntikan sahaja menerusi kaedah hadir terus, khusus kepada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas,” jelasnya secara ringkas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.

Menurutnya lagi, sehingga 10:45 pagi, kuota suntikan secara hadir terus berbaki 31 dos sahaja.

Sebelum pada itu, Mooi Lye memberitahu bahawa pihaknya sendiri pada awal pagi tadi dimaklumkan hanya 50 suntikan vaksin sahaja diperuntukan kepada warga emas untuk ke sini secara kaedah hadir terus.

“Dekat PPV Jawi, pada peringkat awal hanya 50 suntikan sahaja, tetapi seperti yang dapat dilihat adalah permintaan di luar jangkaan.

“Susulan itu, saya bergegas ke sini, mohon ditambahkan lagi kuota suntikan dan terima kasih kepada Pegawai Operasi PPV SPS kerana menambah 50 dos lagi menjadi keseluruhannya sejumlah 100 suntikan sehari pada hari pertama pelaksanaan kaedah hadir terus khusus kepada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas,” ujarnya.

Di samping itu, beliau turut menasihatkan kepada mereka yang belum mencapai usia 60 tahun supaya tidak mencuba nasib untuk mendapatkan suntikan pertama secara hadir terus.

“Saya juga ingin merayu kepada orang awam, tidak perlu berpusu-pusu mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin secara hadir terus, kerana pengesahan berdasarkan semakan kad pengenalan masing-masing.

“Justeru, saya merayu dan harap kalian bersabar menunggu tarikh janji temu menerusi MySejahtera, kerana pihak mengendali PPV di sini sedaya upaya mahu mengurangkan risiko kesesakan di perkarangan Dewan Serba Guna Jawi ini dengan mereka yang tak berkenaan,” tegasnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan atas sikap toleransi masing-masing.

‘SYARIFAH Zaharah’

Responden pertama, yang mahu dikenali sebagai “DATIN SYARIFAH ZAHARAH”, berusia 65 tahun menzahirkan perasaan girang dengan kaedah hadir terus di PPV dekat sini.

“Saya tinggal di Taman Ilmu, baru sahaja daftar MySejahtera tetapi belum mendapatkan janji temu lagi.

“Apabila mendapat tahu daripada suami bahawa mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas boleh hadir terus ke PPV terpilih, saya tak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan suntikan pertama pada pagi ini.

“Selain itu, saya melihat para pegawai dan sukarelawan yang bertugas di PPV Jawi ini sangat dedikasi, yang mana mereka hanya membuat pengesahan mudah menerusi kad pengenalan pemohon sahaja, tidak perlu lagi tunjuk MySejahtera atau dokumen berkaitan,” katanya dalam nada gembira.

SARAH Jaafar

SARAH JAAFAR yang berusia 78 tahun pula memberitahu Buletin Mutiara bahawa beliau sebenarnya telahpun mendaftarkan diri menerusi MySejahtera dengan alamat rumah dekat negeri Kedah.

“Tetapi, makcik tak dapat hadir sebelum ini kerana tak sihat, sebab kencing manis dan darah tinggi.

“Kemudian, makcik mendapatkan sekali lagi panggilan daripada pihak Hospital Jawi minta makcik terus ke sana baru-baru ini, tetapi makcik tak dapat pergi kerana tidak sihat.

“Makcik tinggal di Junjong (negeri Kedah) sahaja, apabila dapat tahu daripada anak bahawa boleh hadir terus, sementara sihat pada pagi ini makcik minta anak terus bawa ke PPV Jawi ini,” jelasnya sambil berpendapat kaedah ini adalah lebih mesra kepada gender warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

TAY Gai Ee

Sementara itu, TAY GAI EE, 72, yang tinggal di Simpang Empat, Bandar Tasek Mutiara pula berkata beliau disambut mesra oleh petugas kesihatan semasa tiba di pintu masuk Dewan Serba Guna Jawi kira-kira jam 10:30 pagi.

“Pagi ini, saya datang dengan ditemani suami, walaupun saya terlupa bawa kad pengenalan, pegawai kesihatan tetap memberikan nombor giliran kerana bimbang kuota 100 suntikan secara hadir terus habis sebelum suami saya kembali membawa kad pengenalan saya,” ceritanya dalam nada gembira.

CHEOH Buck Wang

Nada yang sama turut dikongsi CHEOH BUCK WANG, 56, dengan ditemani anaknya di sini.

Menurut Buck Wang, beliau langsung tidak mendaftar diri menerusi MySejahtera.

“Kita orang lama, bukan semua tahu menggunakan (aplikasi pintar) dalam telefon, jadi, saya baru beberapa hari lepas sahaja daftar.

“Apabila mendapat tahu daripada anak bahawa di Pulau Pinang, mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas dibenarkan hadir terus, saya terus setuju dengan permintaan anak untuk ke sini.

“Walaupun pada pagi ini, suasana agak sesak, tetapi saya lihat SOP (prosedur operasi standard) berkaitan seperti duduk dalam penjarakan 1 meter (m), pakai pelitup muka atau pelindung muka dan kerap sanitasi tangan, saya lihat rata-rata pengiring dan warga emas mengamalkannya,” jelas beliau lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara kerana membuat tinjauan umum pelaksanaan kaedah hadir terus di PPV SPS pagi ini.

Sehingga Sabtu lepas (31 Julai 2021), jumlah populasi dewasa termasuk warga emas berusia melebihi 60 tahun yang telahpun mendaftar MySejahtera di negeri Pulau Pinang adalah seramai 1,284,343 orang atau 93.9 peratus.

Daripada jumlah itu, portal rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), https://www.vaksincovid.gov.my/statistik/, bagi tempoh pengemaskinian laporan statistik sama menunjukkan seramai 755,518 individu atau 42.6 peratus telahpun mendapatkan suntikan pertama.