Hak kebebasan diperjuang KN

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

KETUA Menteri menerima cenderamata penghargaan daripada jawatankuasa penganjur program Hari Hak Asasi Sedunia 2011 di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri menerima cenderamata penghargaan daripada jawatankuasa penganjur program Hari Hak Asasi Sedunia 2011 di sini baru-baru ini.

BUTTERWORTH – Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa negara tidak pernah menikmati hak asasi manusia yang sebenarnya walaupun setelah 54 tahun merdeka.

Kenyataan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ekoran tindakan sekatan dan kawalan ke atas kebebasan bersuara serta mengkritik dalam kalangan orang awam terus-menerus diwujudkan, terbaru adalah berkenaan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman (RUU-PA).

Tambah beliau, di Pulau Pinang, sebagai sebuah negeri yang mempromosikan hak kebebasan, Kerajaan Negeri telah mewujudkan dua sudut pidato rakyat di Padang Kota lama pada 4 Mei tahun lalu dan di Taman Tugu Demokrasi Bagan, Taman Cantik pada tahun ini.

“Walaupun kita berbeza warna kulit, budaya dan agama, tetapi kita sewajarnya merasai hak kebebasan yang serupa,’’ katanya ketika merasmikan Hari Hak Asasi Sedunia 2011 di sini baru-baru ini.

Sebagai gimik penganjuran program tersebut, Ketua Menteri bersama kira-kira 1,000 pengayuh basikal telah berbasikal dengan memakai baju kuning di sekitar kawasan Bagan. Turut serta adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng, ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Dalam, A.Tanasekharan dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Soon Lip Chee.

Pada majlis tersebut, Guan Eng turut menyampaikan sumbangan kepada empat buah pertubuhan kebajikan kawasan berkenaan.

“Kita semua berbasikal memakai baju kuning untuk menunjukkan baju kuning tidak salah dipakai di Pulau Pinang,” katanya merujuk kepada kekerasan pihak berkuasa mengharamkan pemakaian baju kuning ketika peristiwa demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di Kuala Lumpur.