RM1 juta untuk naiktaraf jeti klan

CHOW Kon Yeow (kiri) bersama Lau Keng Ee (tengah) melawat ke tapak pembinaan semula struktur jeti klan barubaru ini di sini.
CHOW Kon Yeow (kiri) bersama Lau Keng Ee (tengah)
melawat ke tapak pembinaan semula struktur jeti klan baru-baru ini di sini.

PENGKALAN WELD – Projek menaiktaraf dan membaiki jeti-jeti klan seperti Jeti Lim, Jeti Tan, Jeti Chew, Jeti Lee, Jeti Yeoh dan Jeti New di Pengkalan Weld kini sedang rancak dilaksanakan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Kerajaan Negeri telah memperuntukan kira-kira RM1 juta bagi kerja-kerja memperbaiki struktur jeti dan menggantikan papan yang reput dan usang.

“Kali terakhir jeti ini dibaiki adalah pada tujuh tahun lalu. Kali ini papan yang digunakan juga lebih baik dan berkualiti dari kayu jenis cengal batu dan ia dapat tahan sehingga 10 tahun,” ujar beliau ketika mengadakan lawatan khas ke kawasan tersebut di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, dua buah jeti telah siap dibaiki iaitu Jeti Lim dan Jeti Tan dan penaiktarafan fasa pertama Jeti Chew yang merupakan jeti terbesar dan terpanjang (iaitu kira-kira 182 meter) akan siap dibaiki sebelum tahun 2012.

“Fasa kedua bagi kerja-kerja menaiktaraf dan membaiki Jeti Chew akan dijalankan menjelang Januari 2012 dan dijangka siap sepenuhnya sebelum menjelangnya Tahun Baru Cina. Dalam masa yang sama, Jeti New, Jeti Lee dan Jeti Yeoh juga akan dibaiki secara serentak.

“Kos bagi memperbaiki jeti-jeti ini dianggarkan bernilai sekitar RM150,000 sebuah jeti,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee menyatakan bahawa melalui Mesyuarat Tindakan Daerah (MTD), sebuah sistem kumbahan dan sistem pembentungan yang sistematik akan dibina di semua jeti-jeti tersebut.

“Walau bagaimanapun, ianya masih di peringkat perbincangan,” ujar Keng Ee sambil menjelaskan bahawa buat masa ini, rumah-rumah di sepanjang jeti-jeti klan tidak mempunyai sistem kumbahan dan sistem pembentungan sistematik yang mana sisa-sisa buangan disalur terus ke dasar laut.