Hakis mentaliti silo, capai misi bandar raya terbaik Asia

Gambar : MBPP

PAYA TERUBONG – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menyeru masyarakat di negeri ini supaya menghakis sikap mentaliti silo yang dilihat boleh menghalang usaha ke arah Pulau Pinang Bersih,
Hijau, Sihat dan Selamat.

Beliau berkata, sebelum ini, salah satu kekangan yang menghalang sebarang usaha ke arah negeri yang lebih baik adalah pemikiran
secara mentaliti silo, iaitu berfikir serta bertindak dalam ruang lingkup sendiri.

“Sebagai contoh, individu yang bermentaliti silo akan berfikir bahawa mereka perlu membuang sampah, jika tidak kakitangan MBPP tidak ada kerja untuk dibuat dan bergaji percuma.

“Sikap sebegini, harus dikikis dan dibuang, seharusnya kita berfikir bagaimana caranya untuk membantu pihak MBPP mengurangkan sampah, selain menjalankan pengasingan sisa di punca dan kitar semula di kediaman masing-masing.

“Jika sikap ini (mentaliti silo) tidak dibuang, maka misi dan visi kita (MBPP dan Kerajaan Negeri) untuk menjadi antara bandar raya terbaik di Asia tidak akan dicapai meskipun baru-baru ini Pulau Pinang diiktiraf sebagai ‘livable city’ ketiga terbaik di Asia dan pertama di Malaysia,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pengasingan Sisa Di Punca Peringkat Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Paya Terubong di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh;
Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ar. Yew Tung Seang; Ahli Majlis bagi MBPP, Syerleena Abdul Rashid; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Mubarak Junus serta Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Dalam pada itu, Maimunah turut mengulas sasaran yang diletakkan oleh Ketua Menteri supaya Pulau Pinang menjadi jaguh bagi tahap negeri terbersih di Malaysia.

“Tahun ini, bagi tahap kebersihan, kita mendapat tempat ketiga di Malaysia di belakang Kuala Terengganu, Terengganu dan Ipoh, Perak.

“Jadi Y.A.B. Ketua Menteri, telah meletakkan satu sasaran untuk merampas kedudukan pertama tahun depan kerana kalau Terengganu boleh buat, tidak mustahil kita orang Pulau Pinang tak boleh buat,” seru beliau.

Dalam perkembangan sama, Maimunah percaya bahawa Pulau Pinang mampu mengurangkan sebahagian pembuangan sisa sekaligus
mampu menjimatkan sehingga RM2 juta tipping fee yang dibayar kepada kontraktor pengurusan di tapak pelupusan sampah Pulau Burong.

“(Dan) hasil penjimatan ini, membolehkan pihak MBPP menyediakan pembangunan infrastruktur bukan sahaja di bahagian pulau, malah juga di Paya Terubong,” jelasnya.

Difahamkan, bagi tahun 2016, kawasan pulau sahaja membayar sejumlah RM4.5 juta tipping fee.

Dalam pada itu, Soon Hin ketika ditemui menggesa agar penduduk di Paya Terubong serta JKKK setempat dapat berganding bahu bersama-sama MBPP bekerja sebagai satu pasukan dalam menjayakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

“Sejak program ini dilaksanakan, saya lihat ada berlaku sedikitsebanyak perubahan, namun kita perlu meningkatkan lagi usaha dan
menjadikannya sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian.

“Oleh itu, sama-samalah kita menyokong dan amalkan pengasingan sisa di punca,” ujarnya.