Hamil luar nikah: segera dapatkan bantuan, perlindungan

Admin

GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng menasihatkan remaja perempuan yang terlanjur dan hamil luar nikah segera tampil mendapatkan bantuan dan perlindungan.

 

Menurut beliau, remaja perempuan yang terlanjur perlu membuang rasa takut dan malu serta bertindak mendapatkan bantuan sama ada di rumah-rumah perlindungan sedia ada atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

 

Saya sedih apabila perkara sebegini berlaku dalam masyarakat kita dan kita perlu menangani kemelut sosial ini secara bersama-sama bagi memberi perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil luar nikah dan juga mengelakkan pembuangan bayi.

 

“Mereka perlukan sokongan, mereka perlu mendapatkan pendedahan sewajarnya yang merangkumi semua aspek agar perkara sama tidak berulang dan bukannya mengenakan hukuman,” ujarnya ketika mengulas mengenai kejadian pembuangan bayi yang kerap berlaku akhir-akhir ini.

 

Chong Eng ditemui sejurus mengadakan lawatan ke Majlis Kebajikan Wanita (Women’s Welfare Council, WWC) Pulau Pinang yang terletak di Lebuhraya Babington dekat sini, pagi ini.

 

Turut sama dalam lawatan tersebut adalah pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang serta wakil-wakil daripada WWC; Women’s Centre for Change (WCC) dan Rumah Perlindungan Sosial.

 

Dalam pada itu, Chong Eng berpandangan bahawa bayi hasil kehamilan luar nikah tidak seharusnya dibuang sebaliknya perlu diselamatkan.

 

“Sudah sampainya masa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menangani dan menguruskan isu ini dengan baik.

 

Salah satunya adalah mengadakan kerjasama erat dengan NGO yang menawarkan perkhidmatan perlindungan dan bantuan kepada remaja perempuan yang hamil luar nikah dan mempunyai masalah sosial lain.

 

“Wujudkan garis panduan atau suatu badan pemikir yang dapat melaksanakan kempen-kempen kesedaran dengan lebih berkesan seperti kempen pencegahan seks tanpa pelindungan, kempen pencegahan pembuangan bayi dan lain-lain kempen kesedaran.

 

“Bukan itu sahaja, peranan ibu bapa juga penting dalam memantau aktiviti anak-anak serta meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama,” katanya yang turut tidak menolak kemungkinan faktor-faktor lain seperti pengaruh rakan sebaya dan penggunaan alat elektronik tanpa kawalan memberi implikasi terhadap golongan remaja.

SESI perbincangan yang melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang bersama-sama wakil-wakil NGO.

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM Negeri Pulau Pinang, R. Chitarthany ketika ditemui berkata, selain mendapatkan bantuan daripada NGO seperti WWC, WCC, Befrienders Penang dan Rumah Perlindungan Sosial, remaja yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih di talian 15999.

 

“Selain itu mereka juga boleh menghubungi mana-mana pejabat JKM yang hampir bagi mendapatkan perlindungan segera termasuk kaunseling dan khidmat nasihat.

 

“Pihak KPWKM juga ada menjalinkan kerjasama dengan NGO yang menyediakan perkhidmatan perlindungan ‘Baby Hatch’ kepada bayi yang dilahirkan hasil kehamilan luar nikah.

 

“Di Pulau Pinang, perkhidmatan perlindungan ‘Baby Hatch’ ini disediakan oleh Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang (di Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam),” jelasnya yang berharap semua pihak termasuk komuniti setempat memainkan peranan dengan membantu mengurangkan kemelut sosial yang membelenggu remaja masa kini.

 

Bagi wakil WWC yang mesra dengan sapaan ‘Ms.Ong’, memaklumkan bahawa selain menyediakan Rumah Perlindungan Sosial, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan nurseri harian.

ANTARA kemudahan yang terdapat di Asrama Putri dekat sini.

 

“Rumah Perlindungan Sosial yang ada di sini menawarkan tempat perlindungan dan khidmat nasihat kepada remaja yang terlanjur atau hamil luar nikah, selain menyediakan hostel kepada ibu tunggal muda yang bekerja dan memerlukan penginapan.

 

“Kami juga mempunyai jawatankuasa kecil hal ehwal wanita yang akan melaksanakan sesi pendidikan seperti forum, seminar, bengkel…serta bekerjasama rapat dengan NGO-NGO lain berkaitan termasuk di pihak kerajaan.

 

“Pastinya, pihak kami mengharapkan agar perkhidmatan yang ditawarkan ini dapat sampai kepada golongan yang memerlukan di luar sana dan dalam masa sama dapat memelihara soal kebajikan serta hal ehwal wanita,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN